suria

MPSP Papar 'Beruk' Pada Papan Tanda Larangan Buang Sampah

BUTTERWORTH: Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) mengeluarkan empat papan tanda yang mengatakan bahawa sesiapa membuang sampah di merata-rata tempat adalah lebih bodoh daripada beruk.

Papan tanda itu dikeluarkan dalam tiga bahasa yang memaparkan gambar seekor beruk menjelirkan lidahnya.

Ahli Majlis bagi MPSP, David Marshel berkata, papan tanda itu hanya ditempatkan di kawasan pembuangan sampah secara haram.

"Saya percaya mesej itu dapat disampaikan kepada orang awam. Kita meletakkan papan tanda ini di Taman Kepar dekat sebuah sekolah dan kadar sampah yang dibuang menurun hampir ke paras sifar sekarang berbanding satu tan seminggu sebelum ini," katanya.

Beliau berkata, majlis perbandaran itu belum ada perancangan untuk meletakkan lebih banyak papan tanda setakat ini.

Marshel berkata, pendekatan baharu itu digunakan kerana papan tanda sebelum ini yang mengatakan jumlah denda yang dikenakan tidak berkesan untuk mengatasi pembuangan sampah secara haram.


Artikel Lain