ASSALAMUALAIKUM. Kadangkala seseorang mudah marah atau naik angin apabila perut lapar. Malah, ada seorang kawan yang sering bertugas sebagai pembimbing ibadat umrah dan haji pernah mengatakan perut jemaah perlu sentiasa diisi agar mereka tidak mudah melenting. Bukan semua orang mampu bersabar jika perut berkeroncong. Ada sahaja yang tidak kena di depan mata walaupun membabitkan perkara kecil dan remeh-temeh. Begitu juga dengan jemaah umrah yang kadangkala mudah marah apabila makanan yang terhidang tidak menepati selera dan citarasa mereka. Ketika bertindak sebagai petugas umrah pada 2009, beberapa jemaah pernah mengadu pada saya bahawa masakan asam pedas ikan yang dihidangkan pada sebelah tengah hari berbau hamis. “Ana, lauk asam pedas tengah hari ini berbaulah,” ujar kak Esa kepada saya sejurus melihat saya di dewan makan. Ketika itu saya belum makan dan hanya melihat jemaah menikmati hidangan tengah hari sejurus kembali dari solat Zuhur. “Oh ye ke? Ana pun tak makan lagi. Jadi tak tau macam mana rasanya lauk tengah hari ini,” balas saya. “Iye. Ramai jemaah tak habis makan. Mula-mula semua berselera sebab asam pedas. Terasa macam di Malaysia pula tapi rasa ikannya tak sedap,” ujar beliau lagi. Tidak lama selepas itu, saya maklumkan pada petugas katering di dewan makan bahawa asam pedas berbau hamis, mungkin kerana ikannya tidak begitu segar atau tidak dicuci bersih. Mendengarkan kata-kata saya itu, petugas berkenaan telah membuang semua baki lauk asam pedas yang masih terhidang di atas meja bufet ke dalam tong sampah berhampiran sinki. “Kenapa kamu buang semua lauk itu?” tanya saya. “Ya, tadi ibu bagitahu aku lauknya hamis, jadi, apa salahnya aku buang?” tanya petugas itu pula. “Saya tidak suruh kamu buang. Saya Cuma maklumkan lauk itu hamis dan bukan suruh kamu buang. Kamu ini marah ye dengan saya?” tanya saya pula. Dia tidak menjawab pertanyaan saya lantas berlalu pergi. Saya juga malas hendak berkata apa-apa lagi lantas meninggalkan dewan makan untuk mencari makanan di luar. Hakikatnya, pengalaman sebagai jemaah dan petugas umrah sedikit sebanyak mendedahkan saya kepada perlakuan sesetengah jemaah umrah yang kadangkala begitu cerewet mengenai makanan yang dihidang di dewan makan di hotel penginapan. Tidak dinafikan saya juga cerewet terutama jika melihat makanan yang dihidang di meja bufet adalah ikan. Hidung saya begitu sensitif jika ikan yang dimasak agak berbau. Keadaan ini bukan berlaku di Tanah Suci saja malah di mana-mana sahaja, hatta di tanah air sendiri dan ia bukan sesuatu yang baru, sememangnya sejak dari usia belasan tahun lagi saya begitu sensitif dengan bau ikan. Hanya ikan tertentu sahaja yang saya ambil dan selalunya pada sebelah malam, amat jarang saya mengambil ikan kecuali yang baru digoreng atau dibakar. Di Tanah Suci, saya tidak akan merungut apabila masakan di depan mata adalah ikan. Saya akan mengambil lauk lain dan jika tiada saya tidak banyak bicara lantas akan keluar ke persekitaran hotel untuk membeli kebab. Saya tidak mahu merungut, berleter atau mengeluarkan perkataan seperti tidak sedap, berbau atau tidak selera makan. Alhamdulillah, setakat ini tidak terkeluar perkataan seumpama itu kerana bimbang selera makan tiada dan seterusnya menyebabkan tubuh tidak bermaya untuk beribadat. Pesanan daripada mereka yang berpengalaman dalam bidang berkaitan banyak mengajar dan menyebabkan saya sering beringat selain berwaspada apabila menuturkan kata-kata. Masih saya ingat bagaimana seorang jemaah haji yang saya panggil makcik berusia dalam lingkungan 60-an bertubuh besar dan berasal dari Klang merungut tidak selera untuk makan nasi kerana menganggapnya mentah. “Mak tak selera nak makan. Dah dua hari mak tak boleh nak telan nasi. Ida tolonglah carikan mak nasi di restoran,” ujar makcik Munah kepada anaknya yang berusia dalam lingkungan 40-an sejurus Ida memasuki ruang bilik kami. Ida duduk di bilik berasingan dengan ibunya ketika di Madinah tetapi di Makkah, dua beranak itu duduk di bilik yang sama. “Mak janganlah cakap tak selera. Betul-betul tak selera jadinya. Mak makanlah walaupun sedikit. Kuatkan badan mak, kita nak tunai haji nanti,” pujuk Ida penuh sabar. “Mak tak selera. Mak tak selera. Nasi mentah. Tak sedap…” rungut makcik Munah terus. “Sabar mak. Orang lain makan nasi tak pulak mentah. Mak seorang saja rasa macam tu. Nasi tak mentah,” ujar Ida meyakinkan emaknya. Semua jemaah, termasuk saya memandang gelagat kedua-dua anak beranak itu. Kami hanya membisu melayan perasaan masing-masing. Hendak bercakap banyak kami semua juga baru kali pertama menjejakkan kaki ke Tanah Suci. Ketika itu pada tahun 2000, iaitu saya ke Tanah Suci untuk menyempurnakan rukun Islam kelima. Saya pun hairan bagaimana makcik Munah boleh mengatakan nasi mentah sedangkan pada hakikatnya ia cukup masak dan berasnya pun putih bersih. Kira-kira 20 minit kemudian, Ida datang semula ke dalam bilik kami dengan membawa sebungkus nasi dan dalca ayam di dalam bekas plastik. “Mak, makan ni mak. Sedap ni. Bangun mak. Makanlah,” pujuk Ida. Makcik Munah menggagahkan diri bangun dari pembaringannya sejurus dikejutkan oleh Ida. Beliau mengambil sudu dan menyenduk lauk di dalam bekas plastik dan meratakannya ke atas nasi. “Emm. Lauknya sedap tapi nasinya mak tak seleralah. Nasi ni mentah…” kata makcik Munah lagi. Kami kehairanan. Begitu juga anaknya. Ida kemudiannya menyuap sesudu nasi ke dalam mulutnya. Beliau mengunyah dan menelan nasi berlauk ayam itu dengan begitu berselera. “Mak. Sedap ni mak. Ida dah rasa. Nasi tak mentah. Keras tidak, lembik tidak, memang sedap mak. Mak cubalah lagi,” balas Ida sambil menyuap nasi ke dalam mulut emaknya. “Eh tak sedaplah. Mak tak nak. Mak tak selera nak makan. Kau makanlah nasi ni sendiri. Kenapalah nasi di sini mentah-mentah?” tanya makcik Munah. Tiada sesiapa yang menjawab pertanyaan beliau. Semua menundukkan pandangan sahaja dan suasana bilik ketika itu sunyi seketika. Ida mati akal dibuatnya. Tidak mampu dia memujuk emaknya yang tidak selera makan dan asyik merungut mengatakan nasi mentah. Esoknya, Ida datang semula ke dalam bilik dan melihat perkembangan emaknya yang jarang ke masjid untuk solat berjemaah kerana badan tidak bermaya. “Mak nak makan apa hari ini?” tanya Ida. “Belikan mak roti sudahlah. Mak tak selera nak makan nasi nanti,” balas makcik Munah. “Baiklah, Ida belikan nanti. Mak jangan cakap lagi nasi mentah,” pesan Ida bersahaja. Emaknya tersenyum memandang kami semua. Makcik Munah memang murah senyuman dan sesekali suka bergurau. Namun, apabila keadaan tubuhnya semakin tidak bermaya, dia kelihatan kurang ceria. Kira-kira setengah jam kemudian, Ida kembali ke kamar kami dan menemui emaknya yang sedang duduk di atas katil setia menanti. Pelbagai jenis makanan dijual di Tanah Suci untuk memenuhi selera umat Islam seluruh dunia. “Sedap pula roti ni Ida,” puji makcik Munah. “Alhamdulillah. Mak makan roti pun ok jugak. Sekurang-kurangnya ada tenaga untuk beribadat nanti,” balas Ida. “Ida belikan mak roti sahajalah. Mak tak nak makan nasi. Entah kenapalah mak tak selera nak makan nasi di sini,” ujar mak Munah berfikir. “Tak mengapalah mak. Janji mak nak makan. Itu paling penting. Jika tak makan, mana dapat tenaga untuk bergerak dan beribadat di masjid,” balas Ida tersenyum. Kami terasa lega melihat makcik Munah berselera untuk makan roti. Sekurang-kurangnya dia masih ada selera untuk makan dan tidak lagi merungut mengenai nasi mentah. Sebelum berangkat pulang, saya perhatikan tubuh makcik Munah susut. Mungkin kerana dia hanya makan roti. Di Makkah, makcik Munah tidak duduk sebilik dengan saya tetapi kami ditempatkan di maktab yang sama di kawasan Ajyad. Apapun, perlu diingatkan, jika kurang gemar pada makanan yang terhidang, makanlah sedikit dan usah merungut. Carilah restoran atau kedai kebab yang mudah ditemui di Tanah Suci. Namun, sebaik-baiknya, ucaplah perkataan yang baik-baik dan berfikir positif dalam setiap perkara.