PUTRAJAYA: Anggota Kabinet yang hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak seharusnya meletakkan jawatan mereka dan tidak perlu menunggu sehingga dipecat, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Menteri Dalam Negeri itu berkata, sebagai anggota Kabinet, ia menjadi satu "kewajipan" bagi menteri-menteri untuk bersetuju dengan perdana menteri terhadap setiap keputusan yang dibuat. "Kuasa untuk melantik anggota Kabinet adalah milik mutlak perdana menteri. Jadi, ia adalah kuasa untuk memecat anggota Kabinet. "Jika ada menteri-menteri yang hilang kepercayaan dengan perdana menteri, atau mempersoalkan keputusannya, lebih-lebih lagi bila mereka membuat kenyataan terbuka, perkara yang sebaik-baiknya ialah mereka meletakkan jawatan. "Saya tidak fikir mereka mahu menunggu sehingga perdana menteri memecat mereka," kata Ahmad Zahid pada sidang media selepas perhimpunan bulanan kementerian di sini, Khamis. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Dilaporkan, Najib mengeluarkan 'kata dua' kepada menteri-menteri Kabinet supaya meletakkan jawatan sekiranya tidak menyokong dengan beliau berhubung usaha pemulihan 1MDB.