KUALA LUMPUR: Sesi dialog antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama badan bukan kerajaan (NGO) yang sepatutnya diadakan pagi Jumaat terpaksa ditunda ke tarikh yang akan ditetapkan kemudian. Perkara itu diumumkan oleh pengacara majlis di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini. "Urus setia masih berbincang dengan pihak polis bagi membenarkan majlis ini diadakan. "Kami diberitahu berlaku kekecohan di luar dewan dan satu tangkapan telah dibuat terhadap dalang yang cuba sabotaj program ini. "Bagaimanapun, kami memberikan anda sesi bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berada di sini," kata pengacara majlis yang cuba mententeramkan keadaan yang mulai kecoh di dalam dewan yang menunggu ketibaan Najib sejak awal pagi. Sesi dialog perdana menteri bersama NGO dianjurkan oleh Pengerusi Sukarelawan Peguam Malaysia (SukaGuam).