KUALA LUMPUR: Suasana di hadapan bilik Seroja tegang seketika sebaik sahaja Tun Dr Mahathir Mohamad keluar daripada bilik tersebut untuk masuk ke Dewan Tun Hussein Onn, lokasi di mana dialog antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama badan bukan kerajaan (NGO) Nothing2Hide sepatutnya berlangsung. Beberapa penyokong Dr Mahathir melaungkan 'Hidup Tun' sambil mengiring bekas perdana menteri itu memasuki dewan. Ketika diasak oleh media untuk memberi komen, Dr Mahathir yang diiringi beberapa pengawal peribadi sekadar tersenyum. Beliau memasuki dewan berkenaan kira-kira pukul 10.20 pagi. Bagaimanapun, media yang berada di luar dewan tidak dibenarkan untuk memasuki lokasi dialog berlangsung. Pengerusi SukaGuam, Datuk Khairul Anwar Rahmat yang juga penganjur program dialog ini memberitahu beliau perlu bertemu dengan Dr Mahathir terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan kepada media. "Saya perlu jumpa Tun dahulu, lepas itu saya akan jumpa anda semua lima minit lagi di depan," katanya. Status dialog itu masih lagi menjadi tanda tanya berikutan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengarahkan program ini supaya dibatalkan. Najib juga belum tiba ke lokasi program itu yang sepatutnya diadakan pada pukul 10 pagi Jumaat.