suria

Gempa Bumi Sabah: Nasib Pendaki Gunung Kinabalu Belum Pasti

Sebahagian daripada pendaki Gunung Kinabalu sedang menunggu helikopter.

KOTA KINABALU: Nasib beberapa pendaki di puncak di Gunung Kinabalu masih belum diketahui berikutan gempa bumi yang  berlaku di kawasan Ranau pukul 7.17 pagi Jumaat.

Pegawai Taman Sabah berkata, mereka belum menerima apa-apa laporan daripada mangsa tetapi telah mengarahkan semua pendaki agar turun dari puncak gunung yang ketinggian 4,095 meter sebagai langkah keselamatan.

Beberapa runtuhan besar berlaku di atas Puncak Gunung Kinabalu berikutan gempa bumi di Sabah, Jumaat. Seramai 137 pendaki masih terperangkap di atas Gunung Kinabalu berikutan kejadian itu. Gempa bumi sederhana berukuran 5.9 pada skala Richter berlaku di Ranau, Sabah menyebabkan gegaran dirasai di Tambunan, Tuaran, Kota Kinabalu dan Kota Belud. -fotoBERNAMA


Orang ramai yang berada di kaki bukit melaporkan terdapat runtuhan batu serta tanah dan pegawai Taman Sabah masih menunggu untuk tindakan selanjutnya.

"Kami masih merasakan ada pergerakan batu. Pendaki yang berada di puncak juga menunggu untuk turun," jelas salah seorang penduduk Kundasang, Mazniag.

Keadaan di laluan menuju ke puncak Gunung Kinabalu sebelum gempa bumi berlaku di Sabah pagi Jumaat. -fotoBERNAMA


Beberapa kawasan di Sabah menerima kejutan pagi ini apabila gempa bumi pada 6 magnitud yang berlaku di Ranau-Kundasang menyebabkan keretakan bangunan dan jalan raya.

Setakat ini tiada kecederaan dilaporkan.

Sebuah rumah di Taman Kinabalu retak akibat gempa bumi di Sabah. -fotoBERNAMA


Di laman Facebook beberapa pemimpin Sabah menasihati orang ramai agar tenang dan berdoa kepada mereka yang terjejas dengan gempa bumi itu.

Gempa bumi Sabah

Artikel Berikut

Artikel Lain