suria

Dialog Batal, Najib Hilang Peluang Raih Semula Sokongan Rakyat - Tun M

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) menamatkan ucapannya setelah diminta berbuat demikian oleh seorang pegawai polis (kanan) pada Dialog Bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Badan-badan Bukan Kerajaan di Dewan Tun Hussein, Pusat Dagangan Dunia Putra, Jumaat, atas faktor keselamatan.

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan pembatalan sesi dialog pada Jumaat akan menyebabkan Datuk Seri Najib Tun Razak kehilangan peluang untuk memenangi sokongan rakyat.

Bekas perdana menteri itu berkata, program sedemikian seharusnya direbut Najib untuk memberi penjelasan kepada rakyat berhubung pelbagai isu dan dakwaan berbangkit seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Dia (Najib) hilang peluang untuk memenangi semula sokongan kepada dirinya sendiri, jelaskan semua perkara, tiada duit yang hilang... apa yang hilang itu benar, sini peluangnya, tapi dia hilang peluang itu," katanya pada sidang media selepas berkesempatan untuk berucap pada majlis berkenaan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Jumaat.

Ditanya adakah perdana menteri mengarahkan pihak polis untuk membatalkan program, Dr Mahathir berkata, beliau tidak tahu mengenai perkara tersebut.

"Saya tak tahu arahan dia, saya tak dengar, apa yang saya tahu polis datang kepada saya, minta saya berhenti (bercakap)," katanya.

Tambah Dr Mahathir, beliau juga tidak tahu punca Najib tidak menghadiri majlis yang dihadiri ramai wakil badan bukan kerajaan (NGO) pada Jumaat.

"Kita pun tak tahu, saya fikir dia sibuk, dia (Najib) mesti ada tugas rasmi yang lebih mustahak berbanding jumpa dengan rakyat," katanya.

Sehubungan itu, Dr Mahathir berkata, beliau tidak dapat menyokong Najib di atas kegagalannya untuk menghadirkan diri.

"Saya datang ke sini untuk mendengar penjelasan, saya harap penjelasan dia bagus supaya kita boleh terus sokong dia. Oleh kerana dia tak datang dan menjelaskan, saya tak boleh sokong dia," katanya.

Sesi dialog perdana menteri bersama NGO dianjurkan Pertubuhan Sukarelawan Peguam Malaysia (SukaGuam).


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain