suria

When Your Mind's Made Up...

JARANG-jarang kita dapat saksikan apa yang telah kita semua saksikan pada malam Khamis, 4 Jun 2015.

Ia bagaikan pembersihan secara besar-besaran, bukan sebenarnya ke atas golongan progresif atau profesional sebagaimana yang dimomok-momokkan selama ini tetapi ke atas golongan anti-Hadi Awang.

Sebenarnya, pemilihan pucuk pimpinan PAS yang berlangsung pada muktamar kali ini adalah di antara kumpulan pro-Hadi dan anti-Hadi. Habis cerita.Tak usahlah dilabelkan sebagai pro-ulama dan profesional, sebab tak betul pun. Apakah Ustaz Ahmad Awang pencabar Hadi bukan ulama? Tujuh belas tahun beliau memimpin Persatuan Ulama Malaysia. 

Garis yang memisahkan antara yang menang dengan yang kalah ialah sama ada anda pro-Hadi atau tidak sokong Hadi. Yang tidak sokong Hadi ada berbagai-bagai - pro-Pakatan, pro-Anwar Ibrahim, pro-Endorgan, pro-gresif dan pro-fesional.

Jadi sekali lagi, garis pemisahnya adalah sama ada pro-Hadi atau anti-Hadi.

Risalah wajah Perosak PAS diedar.
  

Golongan yang selain dari pro-Hadi boleh dikatakan gagal melihat kekalahan mereka sedang datang. Ia berlaku beberapa bulan yang lalu sewaktu pemilihan di peringkat kawasan lagi. Indikasi paling klasik ialah kekalahan bekas menteri besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin sebagai ketua kawasan di tangan seorang yang pro-Hadi.

Sejak itu, ia bagaikan teori domino. Kumpulan pro-Hadi menguasai lebih 85 peratus pertandingan di peringkat kawasan. Ia datang dalam bentuk blok.

Blok ini memberi pukulan maut di pemilihan Dewan Pemuda dan Muslimat sehari sebelum itu. Pemberi indikasinya ialah Dewan Ulama. Mereka memberi petunjuk siapa yang harus dipilih. Untuk memastikan tidak ada yang membuat silap, mereka mengeluarkan senarai petunjuk calon-calon pilihan mereka - pro-Hadi.

Belum pernah dalam sejarah pemilihan PAS, Dewan Ulama memberi petunjuk sebegitu rupa - secara terang-terangan dan tanpa berselindung.Selepas itu ia ibarat Taufan Katrina di Muktamar Agung semalam.

Tidak ada seorang pun yang tidak terlepas.Daripada Mahfuz Omar, Husam Musa, Salahudin Ayub, Dr Hatta Ramli, Dr Mujahid Yusof Rawa, Dr Dzulkefly Ahmad, Hanipa Maidin, Khalid Samad, Dr Siti Mariah Mahmud - semuanya hilang dipukul badai.Pada hari pemilihan, tersebar dengan begitu meluas sekali risalah yang berjudul 'Kenali Wajah Perosak PAS'.

Kesemuanya itu bukan pro-Hadi. Dalam risalah itu, kesemua wajah yang dikenal pasti dan dibulatkan sebagai 'perosak' tewas.

Tidak ada seorang pun yang terlepas. Setelah bertahun-tahun kumpulan ini diberi peluang untuk duduk dalam saf kepimpinan tertinggi PAS akhirnya PAS menyedari, mereka ini mahu menyingkir presiden dengan cara mereka yang tersendiri. Mahu menyingkir presiden sama seperti menentang perkara pokok di dalam PAS. Malah enggan patuh kepada hala tuju yang ditetapkan presiden juga sama seperti menentang jemaah.

Kesilapan kumpulan ini ialah melihat masa depan perjuangan adalah jika PAS terus kekal dalam Pakatan Rakyat. Hadi adalah penghalangnya. Tetapi itu bukanlah keutamaan jemaah dan presiden. Keutamaan jemaah dan presiden ialah mempertahankan perkara asas dan pokok dalam perjuangan PAS terlebih dahulu. Mempertahankan fundamental. Itu yang patut datang dahulu - soal membentuk kerja sama politik dan kesinambungan hayat politik dalam bentuk pakatan adalah perkara kedua.

Politik Haji Hadi sebenarnya hebat. Beliau tidak perlu bercakap banyak atau memberi petunjuk kerana beliau adalah presiden. Penyokong yang buat kerja. Penyokongnya pula tidak sedikit. Lebih daripada 75% menguasai jumlah perwakilan.

Hasilnya, mereka tidak memberi peluang dan ruang kepada waima seorang pun yang bukan pro-Hadi terlepas masuk ke dalam Jawatankuasa PAS pusat untuk penggal ini. Mereka telah lihat apa orang seperti Hanipa Maidin boleh lakukan terhadap Hadi. Hebat sungguh pemilihan kali ini.

Ia memperlihatkan kelicikan politik Haji Hadi. Ada seorang aktivis PAS memberitahu penulis, khabarnya misi mempertahankan Hadi bermula apabila Hanipa Maidin secara terbuka menyindir Hadi dalam satu mesyuarat Jawatankuasa PAS pusat beberapa bulan yang lalu.

Dari situ pembela Hadi berkata; "Cukuplah setakat ini awak menghina presiden kami."

Mulai saat itu, mereka telah membulatkan fikiran dan pendirian. Ia hanya boleh diungkapkan dengan kata-kata berikut dalam bahasa Inggeris;

When your mind's made up...There's no point trying to change it. There's no point trying to stop it. There's no point trying to fight it. There's no point even talking...

Abdul Hadi Awang, Ahmad Awang, PAS

Artikel Lain