KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad mengulangi dakwaan bahawa kebanyakan dasar yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak membawa kebaikan kepada negara. Bekas perdana menteri itu juga mendakwa, Najib banyak membawa dasar-dasar baharu 'ciptaannya' bagi menggantikan yang lama. "Dia (Najib) terlalu tunduk kepada Singapura, Amerika, sedangkan nak buat kereta api laju pun perlu bertanya kepada perdana menteri Singapura. "Jadi, adakah negara kita masih lagi dijajah. Saya nampak seolah-olah negara kita masih lagi dijajah. "Rancangan dan polisi lama dibatalkan dan diganti dengan dasar-dasar baharu ciptaannya sendiri yang saya tidak bersetuju," katanya ketika diberi kesempatan berucap pada majlis yang sepatutnya menjadi pentas dialog perdana menteri bersama badan bukan kerajaan (NGO) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Jumaat. Dr Mahathir berkata, namun beliau terpaksa memendam rasa mengenai perkara tersebut kerana menyedari beliau bukan lagi perdana menteri. "Saya bukan perdana menteri, masa saya sudah habis. Ini masa Datuk Seri Najib dan saya tidak harus ganggu. Dan saya bertahan hati sekian lama. "Tetapi apabila ia melibatkan kehilangan berbilion ringgit, saya dapati ia tidak boleh dibenarkan kerana perbuatan ini dibuat secara sulit dan tidak diberitahu kepada rakyat," katanya. Banyak dakwaan dan pertikaian Dr Mahathir terhadap Najib sebelum ini terutama melibatkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Kehadiran Dr Mahathir untuk memberikan ucapan di atas pentas dilihat untuk mententeramkan hadirin yang mulai kecoh apabila Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengarahkan sesi dialog itu dibatalkan. Bagaimanapun, polis terpaksa memberhentikan bekas perdana menteri itu daripada terus berucap kerana majlis itu didakwa tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa.