KUALA LUMPUR: Jabatan Metereologi menasihatkan penduduk di Ranau, Sabah dan sekitarnya supaya berwaspada kemungkinan berlaku gempa bumi susulan dalam masa 24 jam. Jurucakap jabatan itu ketika dihubungi Bernama berkata kebiasaannya jika berlaku gegaran seperti ini akan berlaku gempa susulan dalam masa satu jam sehingga 24 jam selepas kejadian. Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas gempa bumi sederhana berukuran 5.9 pada skala Richter yang berlaku di Ranau pada 7.15 pagi tadi. Gegaran itu dirasai di kebanyakan tempat di Sabah termasuk Tambunan, Tuaran, Kota Kinabalu dan Kota Belud. Sementara itu di RANAU, beberapa struktur bangunan,termasuk premis perniagaan dan kemudahan perniagaan, mengalami kerosakan kecil akibat gempa bumi itu. Seorang penduduk Yunus Muhamad ketika dihubungi berkata pintu kaca sebuah bank berkecai akibat gegaran itu manakala dinding sebuah lagi bank dan sebuah pasar raya mengalami keretakan. "Satu daripada kubah kecil Masjid Pekan Ranau juga mengalami kerosakan," katanya. Bagaimanapun Yunus berkata urusan harian penduduk Ranau berjalan seperti biasa dan premis perniagaan seperti bank serta kedai-kedai masih beroperasi. Mengulas kejadian pagi tadi, Yunus seorang pekerja bank berkata ketika kejadian dia berada di kebun berhampiran rumahnya, dan dapat menyaksikan jambatan utama di Sungai Liwagu yang menjadi laluan utama ke pantai timur Sabah bergoyang. Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, Mohd Affendy K Ramin mengesahkan beberapa premis perniagaan dan bangunan kerajaan di daerah Ranau mengalami keretakan dan anggota bomba sudah diarahkan membuat pemantauan dan pemeriksaan bagi memastikan tiada mangsa terperangkap.