KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak hadir pada dialog Nothing2Hide bersama badan bukan kerajaan (NGO) pada Jumaat selepas dinasihatkan polis yang bimbang keselamatannya terancam. Pengerusi SukaGuam, Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, Najib baru hendak bergerak ke lokasi dialog sebelum dimaklumkan mengenai pembatalan program tersebut. "Pihak penganjur dihubungi polis yang memaklumkan banyak kekecohan berlaku di luar dewan dan beberapa tangkapan telah dibuat. Atas dasar keselamatan kedua-dua pemimpin itu, polis nasihat penganjur untuk tangguh program," katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Jumaat bagi menjelaskan punca pembatalan program tersebut. Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi Twitter memaklumkan supaya program dialog tersebut dibatalkan demi ketenteraman awam. Khairul Anwar berkata, pada awalnya program dialog ini diluluskan dan Najib turut menyatakan persetujuan untuk berdialog dengan pimpinan aktivis dan NGO. Namun, beliau turut menyatakan kesal tentang sikap gelintir penyokong yang hadir apabila memanipulasi program tersebut untuk menimbulkan kekecohan. Khairul Anwar yang ditolak terjatuh dari pentas program Nothing 2Hide, Jumaat. "Saya kesal dengan tindakan provokasi pihak penyokong yang ingkar arahan polis. Mereka juga merempuh masuk dewan ketika penganjur sedang cuba mengurus acara ini. "Program yang sepatutnya berlangsung dalam suasana hikmat telah dimanipulasi jadi medan tidak sepatutnya," katanya. Malah, Khairul Anwar berkata, beliau turut ditolak penyokong yang merempuh masuk ke dewan sehingga terpaksa dibawa keluar oleh polis atas dasar keselamatan. "Ketika (saya) ingin buat pengumuman telah berlaku rempuhan di dewan. Saya ditolak dan dibawa polis. Selepas itu difahamkan Tun (Dr Mahathir Mohamad) sudah naik ke pentas dan bagi ucapan," katanya. Namun, beliau berkata, SukaGuam berjanji akan mendapatkan tarikh baharu yang sesuai untuk mengadakan semula program dialog ini dengan memberi penekanan kepada aspek keselamatan. "Saya akan hubungi perdana menteri selepas ini. Malah saya juga akan adakan mesyuarat dengan NGO yang hadir dan lakukan posmortem program ini. Saya janji adakan dialog ini pada masa akan datang," katanya.