suria

PM & Tun M Perlu Adakan Perjumpaan 'Empat Mata' - Khairy

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad perlu mengadakan perjumpaan 'empat mata' bagi menyelesaikan sebarang perbalahan antara mereka.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, Najib dan Mahathir perlu bersemuka tanpa kehadiran orang ketiga yang bertindak sebagai faktor pendamai.

"Saya rasa Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak perlu menjadi faktor pendamai seperti yang diperkatakan Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

"Tidak akan ada pihak ketiga yang boleh selesaikan kemelut ini. Hanya perbincangan empat mata boleh selesaikan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program 'Art of Speed' di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di Serdang, dekat sini, Ahad.

Sebelum ini, Shahrizat berkata bagi tujuan menyelesaikan perbalahan itu, Muhyiddin, selaku Timbalan Presiden Umno, perlu memulakan langkah tersebut bagi menyatukan kembali kedua-dua pemimpin berkenaan.

Mengulas lanjut mengenai program dialog bersama perdana menteri dan badan bukan kerajaan (NGO) Jumaat lepas, Khairy berkata pihak penganjur sepatutnya menjemput wakil yang terlibat dalam isu berhubung syarikat pelaburan milik kerajaan, 1Malaysia Development Bhd (1MDB) itu.

"Siapa yang dipanggil mestilah ada kena mengena dengan isu prosiding, cadangan panggil Tun M (Tun Mahathir), Tun M tiada kena mengena dengan 1MDB," katanya ketika ditanya sama ada ada Tun Dr Mahathir perlu dipanggil untuk membantu siasatan oleh Jawatankuasa Kira-Kira (PAC) berhubung isu 1MDB.

Program dialog itu dibatalkan atas arahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, demi ketenteraman awam dan keharmonian masyarakat.

Dianggarkan 1,500 peserta daripada NGO hadir pada majlis dialog 'Nothing2Hide' itu di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC),  sejak 9 pagi hari berkenaan sebelum program itu dibatalkan.

Artikel Lain