KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat yang memulakan mesyuarat pada Isnin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa tragedi gempa bumi yang melanda Sabah pada Jumaat lepas. Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Ismail Mohamed Said menzahirkan rasa sedih dan simpati tidak terhingga kepada keluarga dan mangsa yang terlibat. "Dewan Rakyat mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan mendoakan serta berharap usaha mencari, menyelamat dan membantu mangsa yang masih hilang dipermudah. "Dewan juga berharap keluarga mangsa kekal tabah dan cekal dalam mengharungi dugaan ini," katanya sebelum sesi persidangan bermula. Ismail kemudian meminta anggota Parlimen berdiri dan menghadiahkan bacaan al-Fatihah dan bertafakur selama seminit. Gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter yang berlaku di Ranau pada 7.15 pagi Jumaat itu turut dirasai di kawasan lain seperti Tambunan, Tuaran, Kota Kinabalu dan Kota Belud. Setakat semalam, tragedi itu juga telah meragut 16 nyawa, termasuk lapan warga Singapura yang mendaki Gunung Kinabalu. Dua lagi mangsa masih hilang.