PETALING JAYA: Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung (Pembawa) yang pada mulanya enggan menjual tiket bas ekspres sempena cuti Hari Raya Aidilfitri sehingga kerajaan mengumumkan kadar tambang baharu mengubah pendirian tidak sampai 24 jam dengan memberi kebenaran kepada anggota-anggota mereka menjual tiket itu serta-merta. Yang Dipertuanya, Tajuddin Mohd Yunus berkata, kebanyakan pengusaha mahu mengelakkan kerugian dengan menjual tiket pada kadar tambang sedia ada tetapi oleh kerana mereka menerima desakan daripada pengguna yang ingin membelinya sekarang, mereka terpaksa membuka jualan. "Ada yang dah bertanya sama ada tiket untuk musim raya ni sudah dijual, kita memang tidak mahu menjualnya lagi sehingga tambang baru diumumkan oleh kerajaan tetapi nampaknya orang ramai sudah tidak dapat menunggu lebih lama lagi," katanya kepada mStar Online pada Isnin. Tajuddin berkata, mereka terpaksa mengubah pendirian kerana terdapat segelintir pengusaha bas yang sudah mula menjual tiket sempena cuti perayaan itu. "Daripada biarkan bas tiada penumpang, kami terpaksa ikut pengusaha bas lain yang turut berbuat demikian sejak minggu lalu. Walapun rugi, kami terdesak untuk dapatkan penumpang," katanya. Jelas beliau, biasanya tiket bas ekspres untuk cuti Hari Raya Aidilfitri akan mula dijual pada bulan puasa. Namun, memandangkan terdapat permintaan awal, Tajuddin yang turut memiliki 35 buah ekspres sudah menjual lima peratus tiket sempena musim perayaan itu. "Lima peratus tiket sudah dijual setakat ini. Kita jual ikut permintaan penumpang. Kalau mereka tanya, kita jual dengan kadar tambang sedia ada," katanya. Terdahulu, Presiden Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA), Datuk Mohamad Ashfar Ali menegaskan perjalanan orang ramai untuk balik ke kampung menggunakan bas ekspres sempena sambutan Aidilfitri bulan depan mungkin terjejas berikutan pelbagai kesulitan yang dihadapi pengusaha perkhidmatan itu. Ini berikutan adanya pengusaha bas yang mungkin tidak dapat menyediakan perkhidmatan bas tambahan bagi menampung permintaan orang ramai pada musim perayaan ini. Malah, keadaan bertambah buruk berikutan kemelut tambang bas ekspres yang masih belum bernoktah sehingga hari ini. Ditanya sama ada pengusaha bas akan menyediakan perkhidmatan bas tambahan bagi menampung permintaan yang tinggi sempena cuti perayaan itu, Tajuddin enggan mengulas lanjut mengenainya. "Saya tidak mahu komen lanjut, itu mungkin pendapat presiden (Datuk Ashfar). Mungkin dia sudah tidak tahan kerana tambang dinaikkan kali terakhir lapan tahun lalu," kata Tajuddin. Bagaimanapun, Tajuddin turut merayu kepada kerajaan supaya tidak menghampakan nasib 50 peratus pengusaha bumiputera yang bergantung rezeki kepada perkhidmatan tersebut. "Tolonglah, jangan hampakan harapan kami yang berniaga ini. Kami pun nak hidup juga. Jadi kalau nak bagi (kenaikan tambang) janganlah biar kami ternanti-nanti. "Kenapa buat kami terus menunggu sedangkan duit kami kehilangan hari demi hari. Ada pengusaha yang hilang RM500, ada yang hilang RM1,000 sehari," katanya. Beliau berkata, kerajaan perlu memuktamadkan keputusan mengenai isu tambang bas ekspres dengan segera kerana dikhuatiri lebih ramai pengusaha akan 'gulung tikar' kerana tidak mampu menampung kos operasi mereka. "Kalau menunggu berminggu... berbulan... bertahun nanti sama juga jika (keputusan) diberi sekarang supaya kami tidak 'hilang' dalam tempoh terdekat," katanya.