suria

Raja Perlis Mahu Penerima Darjah Jaga Nama Baik

KUALA LUMPUR: Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berharap para penerima darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk sentiasa menjaga nama baik negeri itu.

Selain itu, baginda juga berharap agar mereka tidak mencemarkan darjah yang dianugerahkan serta meningkatkan usaha memberi sumbangan murni kepada negara, negeri, agama, bangsa dan masyarakat.

Bertitah pada majlis santapan malam meraikan sambutan ulang tahun ke-72 hari keputeraan baginda anjuran Pertubuhan Jemaah Datuk-Datuk Perlis (JDDPs) di sini malam tadi, baginda tetap yakin penerima gelaran Datuk di Perlis adalah berkualiti.

Ini kerana baginda sendiri menilai dengan penuh teliti selain setiap pencalonan penerima darjah yang membawa gelaran perlu melalui proses saringan yang ketat bagi memastikan mereka adalah calon berkelayakan.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah, baginda lebih mementingkan kualiti penerima darjah berbanding kuantiti.

Bersempena ulang tahun ke-72 hari keputeraan baginda pada 17 Mei lalu, empat orang menerima darjah Seri Paduka Mahkota Perlis (SPMP) yang membawa gelaran Datuk Seri dan lima dianugerah darjah Datuk Setia Paduka Tuanku Sirajuddin Jamalullail (DSPJ) yang membawa gelaran Datuk.

Baginda turut berbangga dengan pencapaian JDDPs terutama dalam melaksanakan program pendidikan dan kebajikan termasuk program kecemerlangan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Raja Perlis berharap agar usaha murni serta komitmen yang dipelopori secara berterusan akan melahirkan lebih ramai generasi cerdik pandai di kalangan anak-anak Perlis.

Berangkat sama ke majlis itu ialah Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid dan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Penaung JDDPs serta Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Sebelum itu, keberangkatan tiba baginda disambut Presiden JDDPs Jeneral (B) Tan Sri Che Md Noor Mat Arshad dan timbalannya Datuk Idrus Kassim.

Majlis santapan yang dihadiri kira-kira 500 tetamu itu diadakan antara lain bertujuan mengukuhkan dana tabung pendidikan dan kebajikan pertubuhan bagi memperluas serta mempelbagaikan kegiatannya.

Perlis, Darjah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain