suria

Eksekutif Pemasaran Didakwa Tipu Pekerja Kedutaan Lebih RM22,800

KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret di sini menetapkan 22 Jun untuk sebutan semula kes seorang Eksekutif Pemasaran sebuah syarikat swasta yang menghadapi pertuduhan menipu seorang pekerja sebuah kedutaan membabitkan lebih RM22,800, tiga tahun lepas. 

Steven Santana Dass, 35, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menipu Fatima Seddiki, 31, dalam urusan membantu mencari peguambela untuk mewakili kes mahkamah adik Fatima hingga mendorong Fatima menyerahkan RM22,898.43 kepada tertuduh. 

Dass didakwa melakukan kesalahan itu di rumah Puspanita, JKR 5171, Jalan Hose, Dang Wangi di sini, antara 31 Januari  2012 dan 17 Mei tahun yang sama. 

Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan. 

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin. 

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Noor Jazilah Mohd Yushaa manakala tertuduh diwakili peguam Norman Mohd Nasir.

tipu pekerja kedutaan

Artikel Lain