KUNDASANG: Ibu kepada seorang malim gunung gagal mengawal perasaan sedihnya sehingga enggan menghadiri upacara pengebumian anak bongsunya itu. Apabila dia mula-mula mengetahui mengenai kematian Joseph Solungin pada Ahad, Bokodou Duraman kekal tenang. Bagaimanapun, perasaan ibu berusia 76 tahun itu tidak dapat dikawal lagi selepas keranda anaknya itu dibawa pulang pada Selasa. Abang kepada Joseph, Camilus, 43, berkata ibunya menjadi tidak keruan kerana terlalu sedih dan tidak mahu menghadiri upacara pengebumian. "Ibu saya merupakan seorang yang kuat. Apabila diberitahu pada Ahad bahawa Joseph sudah tiada, dia tenang. "Bagaimanapun keadaannya berubah apabila berada di sisi keranda anaknya yang dibawa ke rumahnya (di Kampung Bundu). Dia menangis begitu banyak," katanya. Menurut Camilus, semalam adalah kali pertama Bokodou melihat mayat Joseph selepas dia diisytiharkan mati. Mayat Joseph ditempatkan di rumah abangnya selama kira-kira sejam sehingga pukul 12.30 tengah hari sebelum dibawa ke Gereja Katolik St Pius X bagi upacara pengebumian. Bokodou bagaimanapun enggan mengikuti konvoi ke gereja dan meilih untuk hanya tinggal di rumah. Camilus, seorang guru di Ranau berkata dia juga amat terkesan dengan kematian adiknya itu. "Kami sangat rapat. Saya tidak pernah melihat dia marah dan dia tidak pernah bergaduh dengan sesiapa pun. Perkara yang paling saya rindui ialah ketawanya. Dia mempunyai ketawa pelik," katanya. Majikan Joseph, Amazing Borneo Tours and Events, menerusi laman Facebook menyatakan bahawa dia ditemui mati dihempap batu. Syarikat itu memetik maklumat seoramg lagi malim gunung, Shahrulnizam Suhaji sebagai yang berkata bahawa Joseph kali terakhir dilihat memeluk dua pendaki dalam usaha untuk melindungi mereka. Ketiga-tiga mereka bagaimanapun meninggal dunia dalam tragedi itu. Camilus berkata dia amat tersentuh ketika membaca laporan bahawa adiknya meninggal dunia ketika cuba menyelamatkan pendaki lain. "Saya bukan lelaki yang mudah menangis. Tetapi selepas membaca mengenainya, saya begitu sedih apabila mengetahui bagaimana adik saya mati. "Tak perlu saya katakan saya berbangga dengan tindakannya. Dia mati ketika mahu menyelamatkan orang lain. Itulah Joseph yang saya kenali," katanya. Joseph meninggalkan isteri, Rozita Daimin dan dua orang anak berusia dua dan empat tahun.