PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan permohonan pada Rabu supaya keterangan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Datuk Ramli Yusuff digunakan dalam semakan terhadap sabitan kes liwatnya. Notis usul dan afidavit sokongan Anwar difailkan di pusat setempat Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan oleh peguam beliau, N. Surendran dan Latheefa Koya. Anwar, 67, yang sedang menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh kerana meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, memfailkan permohonan pada 30 April tahun ini supaya Mahkamah Persekutuan menyemak keputusannya sebelum ini yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara terhadap beliau. Dalam notis usul itu, Anwar mahu keterangan lisan Ramli diterima Mahkamah Persekutuan dan seterusnya digunakan sebagai keterangan dalam pendengaran permohonan semakannya. Beliau berkata pada 27 Mei tahun ini, Ramli memberi keterangan bersumpah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam saman sivil yang menyokong pembelaan Anwar bahawa beliau adalah mangsa konspirasi politik dan keterangan yang direka-reka. Anwar berkata keterangan Ramli adalah penting bagi mengesahkan bahawa wujudnya konspirasi politik terhadap beliau yang membawa kepada pertuduhan liwat terhadapnya. Ramli memberi keterangan dalam saman sivil oleh seorang peguam, Rosli Dahlan terhadap pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kerajaan. Keterangan beliau itu mempunyai kaitan dengan insiden 'mata lebam' Anwar yang berlaku pada 20 Sept, 1998. Pada 10 Feb tahun ini, panel hakim Makamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria menolak rayuan akhir Anwar terhadap sabitan ke atasnya kerana meliwat Mohd Saiful Bukhari, 30, dan mengekalkan hukuman penjara lima tahun yang dijatuhi Mahkamah Rayuan. Anwar didakwa melakukan kesalahan itu di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di sini antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008. Pada 7 Mac tahun lepas, Mahkamah Rayuan meminda keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan Anwar selepas memerintahkannya membela diri. Berikutan sabitan itu, Anwar hilang kelayakannya sebagai Anggota Parlimen Permatang Pauh. Surendran memberitahu pemberita bahawa Mahkamah Persekutuan perlu mendengar permohonan ini terlebih dahulu sebelum mendengar permohonan semakan oleh Anwar. Beliau berkata sekiranya keterangan ini dibenarkan, ia akan digunakan untuk menyokong permohonan Anwar bagi semakan semula sabitan kes liwatnya itu, dan menambah, satu daripada pembelaan utama Anwar adalah konspirasi politik. Dalam pada itu, Latheefa berkata tarikh pendengaran semakan semula itu belum ditetapkan. Beliau berkata Mahkamah Persekutuan dalam penghakimannya mengesahkan keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak pembelaan Anwar berkaitan konspirasi politik.