suria

1MDB: Tidak Sesuai Debat Dengan Dr M Secara Terbuka - Najib

Najib Tun Razak.

PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata adalah 'tidak sesuai' untuknya berdebat secara terbuka dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam majlis dialog bersama badan bukan kerajaan (NGO) yang dibatalkan pada Jumaat lalu.

"Majlis tersebut berubah daripada dialog tertutup kepada perbahasan terbuka. Ini akan menyebabkan konfrontasi politik secara terbuka antara Mahathir dan saya sendiri.

"Adalah tidak sesuai untuk berdebat seperti itu diadakan secara terbuka dengan bekas perdana menteri yang juga dari parti politik yang sama," kata Najib dalam blognya pada Rabu.

Najib berkata perdebatan antara beliau dan Mahathir tidak akan membawa sebarang manfaat kepada Umno dan Barisan Nasional (BN).

"Sebagai perdana menteri dan presiden Umno, saya bertanggungjawab untuk menjaga nama baik kerajaan dan juga parti," katanya.

Namun, Najib berkata Mahathir mempunyai hak untuk bertanya dan beliau bersedia untuk menjelaskan kepada bekas perdana menteri itu.

Katanya, beliau kecewa majlis tersebut dibatalkan atas dasar keselamatan.

Malah Najib berkata, beliau masih berhasrat untuk mengadakan sesi dialog bersama NGO yang dijemput dalam masa terdekat.

Majlis dialog antara Najib dan NGO yang menyentuh isu 1MDB dibatalkan berikutan arahan yang dikeluarkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi laman Twitternya.

Mahathir yang hadir pada sesi dialog itu, naik ke pentas untuk berucap kepada ahli NGO yang hadir tetapi diarahkan untuk berhenti berbuat demikian.

Artikel Lain