suria

Tiada Kompromi Pegawai Langgar Integriti - KP Imigresen

Mustafa Ibrahim.

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) tidak akan berkompromi terhadap pegawainya yang melakukan pelanggaran integriti sehingga mencemarkan nama baik dan imej jabatan, kata Ketua Pengarahnya Datuk Mustafa Ibrahim.

Beliau berkata selain memandang serius sebarang isu integriti yang  melibatkan pegawai-pegawainya, pihaknya juga tidak akan melindungi mereka yang terlibat dalam aktiviti tidak berintegriti.

"JIM akan sentiasa telus dan memberikan kerjasama penuh dalam melaksanakan siasatan hingga ke akar umbi untuk memastikan segelintir pegawai yang melakukan kesalahan dikenakan tindakan.

"JIM akan mengambil tindakan dan mengenakan hukuman yang serius jika pegawainya didapati bersalah," katanya dalam satu kenyataan di sini Rabu.

Kenyataan itu susulan perintah tahanan reman selama tujuh hari ke atas empat pegawai imigresen yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Ipoh, Perak, pada Selasa bagi membantu siasatan berhubung dakwaan meminta dan menerima suapan kira-kira RM12,000 terhadap tahanan pemegang kad Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa  Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) di Depot Tahanan Langkap, Hilir Perak.

Mustafa berkata penahanan empat pegawai tersebut bagaimanapun tidak menjejaskan operasi Imigresen dalam melaksanakan tugas-tugas harian dan menyampaikan perkhidmatan.

Beliau berkata bagi memastikan tahap integriti pegawai JIM berada di paras maksimum, Bahagian Integriti JIM sentiasa menjalankan program-program pematuhan dan kempen kesedaran memerangi rasuah dan salah guna kuasa.

Sebagai langkah proaktif menangani isu-isu berkaitan integriti, Mustafa berkata pihaknya menjalinkan kerjasama erat dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Institut Integriti Malaysia serta menghantar laporan kepada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP).

Bagi tahun ini, sehingga 31 Mei lepas sebanyak 37 pegawai Imigresen yang didapati melakukan kesalahan pelanggaran integriti telah dikenakan tindakan tatatertib, katanya.

Imigresen, integriti

Artikel Lain