suria

Isu Pengharaman Mee Segera Jenama Maggi Di India

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan mengambil maklum isu  pengharaman sementara penjualan mee segera jenama Maggi di India seperti yang dilaporkan oleh beberapa media cetak dan elektronik semenjak kebelakangan ini.

Pengharaman sementara tersebut dibuat oleh pihak berkuasa di India susulan daripada penemuan kandungan logam berat plumbum melebihi had yang dibenarkan oleh undang-undang negara tersebut di dalam mee segera jenama berkenaan.

Seksyen 13 Akta Makanan 1983 memperuntukkan mana-mana pihak yang terlibat  mengimport, mengedar, menyimpan atau menjual makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan adalah melakukan satu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda  tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam hal ini, Kementerian Kesihatan ingin memaklumkan bahawa mee segera jenama Maggi yang dijual di negara ini dikeluarkan oleh kilang di dalam  negara dan tidak diimport daripada India. Kementerian Kesihatan juga  telah menjalankan verifikasi ke atas program jaminan keselamatan makanan yang dilaksanakan oleh kilang yang mengeluarkan mee segera berkenaan dan  mendapati bahawa pengurusan kilang tersebut telah mengambil segala langkah  yang perlu untuk memastikan makanan yang dihasilkan adalah selamat.

Di samping itu, hasil pemantauan yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan ke atas mee segera pelbagai jenama di pasaran tempatan termasuk yang diimport mendapati bahawa tiada sampel dikesan mengandungi  plumbum melebihi paras yang dibenarkan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Dengan penjelasan ini, orang ramai tidak perlu khuatir kerana aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan keselamatan makanan sentiasa dijalankan bagi memastikan makanan di pasaran adalah selamat. Sekiranya pengguna merasa  ragu-ragu dengan status keselamatan sesuatu makanan di pasaran, pengguna  boleh membuat aduan kepada Kementerian Kesihatan melalui Jabatan  Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah terdekat atau melalui laman  sesawang Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) 

India, Maggi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain