suria

Audit: Dokumen Tidak Lengkap Beli Alat ICT Sekolah Lebih RM28 Juta

PETALING JAYA: Dokumen rasmi yang tidak lengkap digunakan bagi membeli pelbagai peralatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) khusus untuk sekolah bernilai RM28.04 juta.

Siri Kedua Laporan Ketua Audit Negara memaklumkan, surat pemberitahuan penerimaan 12 baucer tidak dipenuhi pegawai bertanggungjawab.

Sijil ujian dan pemeriksaan juga tidak dilengkapkan oleh kontraktor atau disahkan pegawai terlibat.

Menurut laporan itu lagi, kebanyakan pegawai yang menerima peralatan ICT untuk sekolah rendah itu tidak berkelayakan atau berpengetahuan dalam bidang berkenaan.

Sehubungan itu, laporan itu memberi amaran supaya perhatian serius diberikan terhadap usaha menguruskan dan mentadbir kontrak bagi mengawal kepentingan kerajaan.

Juga dimaklumkan, semua dokumen sepatutnya lengkap sebelum pembayaran dibuat.

Sebagai maklum balas kepada hasil laporan itu, Kementerian Pendidikan berkata, pihaknya akan mengeluarkan surat kepada semua kontraktor supaya mencatatkan tarikh pada dokumen masing-masing.

Berkaitan pegawai yang tidak berkelayakan menerima peralatan ICT itu, kata kementerian itu, kriteria tidak dimaklumkan dengan jelas menerusi Garis Panduan Pemerolehan Peralatan ICT 2012.

"Bagaimanapun kami akan mengemaskini garis panduan itu pada Ogos ini  dan hanya pegawai berkelayakan akan dilantik untuk mengendalikan transaksi berkenaan pada masa depan," menurut kementerian itu.

Menerusi laporan itu, audit yang dilakukan di 30 sekolah rendah berkaitan peralatan ICT secara umumnya memuaskan.

Selain itu, pembaziran yang turut didedahkan menerusi laporan itu adalah pembelian 270 perisian daftar ejaan yang berjumlah RM75,600 di mana ia melebihi jumlah komputer sedia ada.

Menurut kementerian berkenaan, bagaimanapun jumlah yang lebih banyak itu kerana tempahan awal komputer dibatalkan kerana kehabisan stok ketika diaudit.

"Bagaimanapun perisian itu ketika ini digunakan untuk komputer di sekolah seluruh negara," katanya.

Artikel Lain