suria

Hujan Lebat Tak Halang Ribuan Penduduk Hadir Jamuan Bersama PM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sempat berselfie dengan orang ramai ketika mengadakan 'Walk About' dan menghadiri Jamuan Makan Malam di Taman Selera Harmoni di Sibu, malam Isnin. Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor tiba di sini petang tadi untuk lawatan dua hari. -fotoBERNAMA
SIBU: Hujan lebat pada waktu petang tidak menghalang ribuan penduduk kampung menghadiri jamuan malam bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Taman Selera Harmoni di sini, Isnin.

Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor tiba di sini petang tadi untuk lawatan dua hari.

Esok, mereka akan berkunjung ke rumah panjang suku kaum Iban, Rh.Bengau di Sut, Kapit bagi menghadiri 'Gawai Ngiling Tikai' (Menggulung Tikar) iaitu sambutan menandakan berakhirnya perayaan Gawai Dayak.

Sementara itu, Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Wong Soon Koh berkata kehadiran sebilangan besar penduduk menunjukkan bahawa Perdana Menteri masih amat popular dalam kalangan penduduk kampung.

"Saya berharap ini menghasilkan sokongan undi kepada kerajaan Barisan Nasional pada pilihan raya negeri akan datang," katanya.

Ketika ditemui pemberita selepas majlis itu, Wong berkata, Najib juga  membawa khabar gembira untuk penduduk Sibu.

"Beliau bersetuju untuk memberi geran sebanyak RM1 juta untuk menaik taraf dan mengindahkan kemudahan di medan selera bumiputera ini.

"Kerajaan negeri sebelumnya juga memberi RM1 juta," katanya.

Wong berkata Najib dengan serta merta memberikan kelulusan apabila beliau dan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu, Datuk Tiong Thai King menemui beliau di hotel sebelum itu.

Beliau berkata pemberian geran itu tepat pada masanya kerana Sibu akan menganjurkan acara pelancongan 'Tahun Melawat Sibu' tahun depan.

Artikel Lain