KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin menolak dua permohonan semakan kehakiman oleh Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel dan empat individu lain untuk membatalkan 'arahan' Pendaftar Pertubuhan supaya diadakan pemilihan semula parti. Hakim Datuk Asmabi Mohamad berkata RoS hanya memberi pendapat dan bukannya arahan, dan cadangan supaya diadakan pemilihan semula parti untuk menyelesaikan masalah parti itu sebenarnya datang daripada Palanivel. Beliau memerintahkan kelima-lima pemohon terbabit supaya membayar kos perundangan berjumlah RM90,000 kepada RoS, Ketua Pengarahnya Mohammad Razin Abdullah, Menteri Dalam Negeri, dan senator Datuk S.Vigneswaran, yang merupakan pencelah dalam permohonan itu. Naib Presiden MIC Datuk M. Saravanan, yang juga merupakan pencelah dalam kes itu, tidak memohon kos atas alasan kes berkenaan adalah atas kepentingan umum. Terdahulu peguam R.Thayalan, mewakili pemohon, meminta mahkamah menetapkan kos minimum disebabkan ia adalah 'kes berkepentingan umum'. Asmabi berkata itu adalah 'alasan biasa' yang diberi peguam sebelum beliau, dan menambah: "Jika kamu berani untuk memfailkan kes, kamu sepatutnya berani juga untuk menanggung kosnya." Thayalan turut memohon penangguhan pelaksanaan keputusan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan, tetapi Asmabi memerintahkan beliau supaya memfailkan permohonan penangguhan yang sewajarnya. Kelima-lima mereka memfailkan dua permohonan berasingan bagi semakan kehakiman untuk mencabar apa yang mereka katakan arahan RoS supaya parti itu mengadakan pemilihan semula parti. Permohonan pertama difailkan pada 23 Feb oleh anggota Jawatankuasa Kerja Pusat MIC A.K. Ramalingam, 47, yang menamakan RoS dan ketua pengarahnya Mohammad Razin Abdullah sebagai responden. Permohonan kedua difailkan pada 24 Feb oleh Palanivel, dua Naib Presiden MIC Datuk S. Sothinathan dan Datuk S. Balakrishnan, serta bekas Setiausaha Agung MIC A. Prakash Rao. Asmabi, dalam keputusannya, berkata RoS hanya memberi pendapatnnya tentang bagaimana MIC boleh menyelesaikan pertikaian dalam parti itu sejajar dengan Seksyen 16(1) Akta Pertubuhan 1966. Beliau berkata RoS, dalam surat bertarikh 6 Jan 2015, memberitahu MIC supaya menyelesaikan pertikaian itu, dan bukanlah keputusan RoS supaya parti itu mengadakan pemilihan semula. "Ia dicadangkan oleh presiden parti dalam surat bertarikh 9 Feb 2015, untuk menyelesaikan pertikaian dalam parti dengan mengadakan pemilihan semula di semua peringkat," kata hakim berkenaan. Asmabi berkata Palanivel, dalam surat itu, bersetuju untuk menyelesaikan masalah parti dengan mengadakan pemilihan semula di semua cawangan dan bahagian termasuk bagi jawatan presiden. Hakim berkata RoS tidak mempunyai kuasa untuk mengesahkan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat MIC, bagaimanapun ia mempunyai hak untuk memberi pendapat berhubung pertikaian dalam parti itu. "Tanggungjawab RoS hanya untuk memberitahu MIC supaya menyelesaikan masalahnya dengan bijak," katanya, dan menambah, bukan menjadi tanggungjawab mahkamah untuk mempersoalkan pandangan RoS dalam kes itu. Asmabi berkata pendapat RoS tentang pertikaian itu dibuat berdasarkan siasatan terhadap aduan yang dibuat anggota parti dan bukannya atas tuduhan seperti yang didakwa oleh pemohon. Berhubung dakwaan Palanivel bahawa beliau terjejas teruk berikutan 'arahan' RoS, hakim itu berkata: "Bagaimana beliau boleh berkata begitu sedangkan beliau sendiri yang mencadangkan supaya diadakan pemilihan semula". Oleh itu, katanya, mahkamah tidak mempunyai sebab untuk campurtangan dalam pendapat RoS memandangkan ia 'tidak dicemari dengan perkara di luar aturan, tidak munasabah dan tidak rasional".