suria

Tun M Tak Yakin Kemelut 1MDB Selesai Sebab Duit Dah Hilang

SUBANG JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan beliau tidak yakin kemelut membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dapat diselesaikan dalam tempoh yang terdekat kerana 'wang semua sudah hilang'.

"Saya tak yakin (selesai) sebab benda tu (wang) hilang... duit tak ada," katanya ringkas ketika ditemui media selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Proton, DRB Hicom dan Suzuki di sini, Isnin.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang memberi jaminan kepada badan bukan kerajaan (NGO) dan perwakilan Umno pada Ahad bahawa kerajaan akan dapat menyelesaikan krisis tersebut paling lewat hujung tahun ini.

Dr Mahathir berkata, beliau tidak menghalang Najib untuk berusaha menyelesaikan krisis tersebut tetapi pada masa yang sama akan terus mendedahkan kesalahan yang dilakukan.

"Tak apalah, kalau dia nak buat tapi pada masa sama benda yang tak baik kita ceritakanlah," katanya.

Najib pada Ahad menghadiri Majlis Penerangan Perdana di Pusat Perdagangan Dunia Putra (PWTC) bagi memberi penjelasan kepada lebih 1,500 wakil Penerangan Umno dan NGO mengenai krisis 1MDB.

Ditanya sampai bila beliau akan terus memberi tekanan kepada Najib, Dr Mahathir menafikan dirinya menekan Perdana Menteri itu sehingga meletak jawatan.

Sebaliknya Dr Mahathir berkata, beliau hanya menegur kesilapan yang dilakukan Najib.

"Bukan gasak, saya dedahkan benda yang tak kena, benda yang kena saya tak pernah komplen. Saya sokong dia dulu sampai dia menang walaupun kecil sikitlah," katanya.

Terdahulu Dr Mahathir menyaksikan MoU antara tiga pihak berkenaan untuk kerjasama strategik dalam membangunkan kereta kompak yang akan dilaksanakan secara rasmi pada tahun depan.

Artikel Lain