Ketika dihubungi pada Selasa, peguam J. Chandra, yang mewakili Palanivel, naib presiden MIC Datuk S. Sothinathan dan Datuk S. Balakrishnan serta bekas setiausaha agung parti itu, A. Prakash Rao, berkata beliau memfailkan notis rayuan itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi pada 2.30 petang ini.
Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Asmabi Mohamad menolak permohonan semakan semula kehakiman mereka dan memutuskan bahawa RoS sekadar memberi pendapatnya bahawa MIC perlu menyelesaikan pertikaian dalamannya dan bukan arahan supaya diadakan pemilihan semula.
Beliau berkata malah cadangan agar parti itu mengadakan pemilihan semula untuk menyelesaikan masalahnya dibuat Palanivel sendiri.
Oleh itu, kata beliau, mahkamah tidak mempunyai sebab untuk campur tangan terhadap pendapat RoS 'kerana ia tidak dicemari penyelewengan, ketidakwajaran dan ketidakrasionalan'.
Keempat-empat mereka memfailkan permohanan semakan semula kehakiman itu pada 24 Feb 2015 untuk menuntut, antara lain, mahkamah mengetepikan 'arahan' RoS agar MIC mengadakan pemilihan semula.