KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy dan bekas CEOnya Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi bagi menghadiri prosiding siasatan pada 4 dan 5 Ogos ini. Pengerusinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata pihaknya juga akan memanggil bekas pemangku CEO 1MDB, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi untuk sesi prosiding pada 6 Ogos ini. Katanya, Arul Kanda dan Shahrol Azral diminta tampil pada hari yang berasingan bagi memudahkan proses siasatan berjalan dengan lancar. "Ini adalah kerana seorang saksi akan mengambil masa yang agak lama dalam sesuatu sesi prosiding. Oleh itu kami membuat keputusan untuk mengasingkan mereka. "Surat berkenaan dengan prosiding itu telah dihantar menerusi Kementerian Kewangan pada minggu lepas dan mereka diberi tempoh enam minggu dari sekarang untuk bersiap sedia," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat PAC di Bangunan Parlimen, Rabu. Nur Jazlan berkata, pihaknya juga akan memanggil bekas ahli lembaga pengarah 1MDB, Tan Sri Mohd. Bakke Salleh (CEO Sime Darby) dan Tan Sri Azlan Zainol pada 17 Ogos. "Manakala sebanyak lima ahli lembaga pengarah terbaru IMDB pula diminta hadir pada 18 Ogos untuk prosiding," katanya. Selain itu, beliau memaklumkan pihaknya telah mengadakan sesi prosiding bersama firma audit KPMG hari ini bagi mendengar penjelasan mengenai proses tatacara audit yang dibuat untuk 1MDB bagi tahun 2010 hingga 2012. Katanya, dua saksi firma itu, Datuk Johan Idris iaitu Rakan Urusan KPMG dan Senior Auditornya, Khaw Hock Hoe juga tampil memberikan penjelasan terhadap lebih 35 soalan yang dikemukakan oleh PAC. "Mereka turut memberitahu kontrak mereka ditamatkan oleh Kementerian Kewangan pada Disember 2013 namun tidak diberitahu tentang sebabnya. "Prosiding akan diteruskan tetapi akan mengambil masa lama hari ini, mungkin selesai lewat petang ini," tegasnya. Dalam pada itu, PAC juga mengesahkan Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang akan membentangkan laporan awal 1MDB pada 9 Julai ini kepada PAC.-- Bernama