suria

Diplomat Muda Kyrgyzstan Belajar Erti Senyuman Di Malaysia

Iliiaz Shenyev ditemuramah wartawan mStar Online ketika berkunjung ke Menara Star baru-baru ini.

PETALING JAYA: "Saya belajar senyum di Malaysia", demikian menurut seorang warga Kyrgyzstan ketika mengimbau kembali kenangan pertama kali menjejakkan kaki ke Malaysia.

Teruja dengan sikap 'pelik' rakyat Malaysia yang sentiasa tersenyum, Iliiaz Shenyev, 23, mengakui mula jatuh cinta dengan budaya cepat mesra masyarakat di negara ini.

Iliiaz menjelaskan amalan senyum merupakan suatu perkara yang jarang dilakukan di negaranya.

"Orang awam di sini sentiasa melemparkan senyuman kepada saya walaupun mereka tidak mengenali saya.

"Sekiranya saya tersenyum seperti ini di kaki lima di negara saya, Kyrgyzstan, orang pasti akan kata ada sesuatu yang tidak kena dengan saya kerana masyarakat kami sentiasa kelihatan serius," katanya sambil ketawa.

Iliiaz ditemui ketika mengiringi rakan-rakan media dari negaranya mengadakan kunjungan rasmi ke Ibu Pejabat Kumpulan Media Star di sini Jumaat lalu.

Kumpulan media Kyrgyzstan mendengar penerangan Pembantu Khas kepada Ketua Pengawai Eksekutif Star Media Group, Tommy Lee.

Mula menetap di Malaysia pada Oktober 2011 apabila dia diterima melanjutkan pelajaran di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) selepas menerima cadangan daripada rakannya, Iliiaz menambah:

"Rakan saya, Chygyz yang juga merupakan pelajar Unimas mengajak saya untuk menyambung pelajaran di Malaysia kerana dia tertarik dengan layanan yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia.

"Kata-katanya itu berjaya meyakinkan saya jadi saya mengambil keputusan untuk menerima cadangan tersebut dan melanjutkan pelajaran di Unimas."

Graduan jurusan kewangan itu juga menerangkan, rakyat di Sarawak melayannya dengan baik ketika menyambung pelajaran di Unimas.

"Apa yang dikatakan oleh rakan saya itu sememangnya benar kerana mereka semua sangat peramah dan saya dilayan dengan begitu baik oleh kaum Iban sewaktu bermalam di rumah panjang di situ," katanya lagi.

Walau bagaimanapun, Iliiaz mengalami kesukaran untuk menyesuaikan diri di Malaysia kerana faktor cuaca yang berbeza dengan negara kelahirannya.

"Faktor cuaca menyukarkan saya untuk menyesuaikan diri ketika mula menetap di sini kerana terdapat empat musim di negara saya  manakala di Malaysia hanya ada satu musim sahaja iaitu cuaca panas dan hujan sepanjang masa," kata Iliiaz lagi.

Bekas pelajar Unimas itu yang kini berkhidmat di Kedutaan Kyrgyzstan sebagai penterjemah berharap dia dapat menghabiskan masa untuk melawat kesemua negeri yang lain di Malaysia sepanjang berkhidmat di negara ini dan pada masa yang sama dapat menikmati pelbagai masakan tradisional.

"Makanan kegemaran saya di Malaysia ialah nasi goreng ayam," kata Iliiaz sambil ketawa.

Iliiaz yang merupakan anak sulung dari kalangan dua beradik sahaja berkata, bapanya berkhidmat sebagai pegawai polis dan kini telah pencen manakala ibunya pula adalah seorang doktor.

Adik perempuannya pula yang berusia sembilan tahun.  


Kyrgyzstan, Iliiaz Shenyev

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain