ASSALAMUALAIKUM. Selamat menyambut Ramadan. Semoga amal ibadat dan doa kita diterima oleh Allah SWT. Kehadiran Ramadan sekali gus mengingatkan saya kepada kenangan menyambut bulan puasa di Tanah Suci Makkah pada 2005. Kenangan indah terpahat sehingga sekarang kerana sambutan Ramadan di kota suci begitu luar biasa. Jika di Malaysia, kemunculan Ramadan dikatakan umpama pesta makanan tetapi di Tanah Suci, semua terarah kepada meningkatkan amal ibadat. Kedatangan saya sebagai tetamu Allah pada Ramadan turut disertai anak sulung, Aliff Hazim dan kedua-dua orang tua. Kami tinggal di kawasan Shamia dan masih saya ingat hotel yang dihuni terletak berhampiran Restoran Imran yang menyediakan masakan Pakistan. Kini, kawasan itu pesat dibangunkan. Pada penghujung Syaaban kami berangkat ke Tanah Suci. Kunjungan kami bermula dengan ziarah di Madinah diikuti berkunjung pula ke Makkah. Selepas dua hari di Makkah, Ramadan bermula. Masih segar dalam ingatan, selepas solat Asar, imam di Masjidil Haram mengumumkan Ramadan bermula pada esoknya dan pada malam itu, solat terawih akan bermula. Semua jemaah di dalam masjid mengucapkan syukur dan gembira sejurus pengumuman selesai. Suasana di perkarangan Masjidil Haram juga begitu meriah dan sepanjang perjalanan pulang ke hotel, saya sekeluarga memerhati gelagat peniaga di bazar berderetan. Mereka berpelukan dan ceria. Saling melafazkan kedatangan Ramadan dengan penuh kesyukuran. Kami sekeluarga kehairanan kerana tidak sangka sambutan cukup meriah dan begitu dinantikan. Di dalam kamar hotel, ibu bersuara, “Patutlah jalan raya diturap, lampu kelip-kelip dipasang. Mereka nak sambut Ramadan. Bukan macam orang kita (di Malaysia), sambut raya baru meriah nak siap itu dan ini. “Beza betul dengan kita di Malaysia, bersiap-siap dan meriah untuk sambut Syawal. Orang Makkah meriah nak sambut Ramadan. Bagus mereka,” sambung saya pula. Bapa tersenyum mendengar perbualan kami. “Masa ibu tanya pekerja di Restoran Pakistan, siapa nak datang hingga mereka turap jalan dan budak tu cakap Ramadan, Ramadan hajah…” cerita ibu dengan ketawa kecil. Ramadan begitu dirindui oleh mereka. Semua bersyukur kerana bertemu Ramadan sebab berpeluang beribadat pada bulan penuh keberkatan yang menjanjikan ganjaran lumayan jika segala amalan dilipatgandakan. Selesai solat Maghrib dan Isyak di Masjidil Haram, solat terawih bermula diimamkan oleh Sheikh Abdul Rahman Sudais. Lunak suara imam membaca surat Al-Baqarah sehingga tidak terasa selesai 20 rakaat solat terawih pada malam itu. Pada rakaat pertama lagi, saya tidak mampu menampung air mata yang berjujuran kerana tidak sangka diundang sebagai tetamu Allah ketika Ramadan. Sebelum itu, saya hanya mendengar kemanisan beribadat di Tanah Suci dan apabila dipilih sebagai tetamu-Nya, saya benar-benar bersyukur apatah lagi kunjungan itu bersama-sama ibu bapa. Jam 3 pagi kami bersahur di hotel. Hidangan ringkas tetapi menyelerakan. Selesai makan, kami ke Masjidil Haram semula untuk bersolat sunat dan menunggu masuk waktu Subuh. Usai solat Fajr berjemaah, kami pulang ke hotel untuk berehat semula. Deretan bazar di kawasan Shamia beroperasi seperti biasa tetapi tidak rancak dengan pembeli. Peniaga pula saya lihat begitu khusyuk membaca al-Quran. Restoran Imran tutup operasi pada pagi itu dan tidak terlihat kelibat pekerja di dalam restoran berkenaan. Masjidil Haram tetap dipenuhi jemaah. Bertawaf dan bersaie disempurnakan oleh mereka yang mengerjakan umrah. Solat berjemaah tetap penuh seperti sediakala tanpa mengira waktu. Alhamdulillah, cuaca tidak begitu panas kerana September. Bahang kepanasan semakin reda dan tidak seperti Jun atau Julai yang mana kepanasan memuncak. Ketika artikel ini ditulis, baru satu minggu saya kembali dari Tanah Suci. Cuaca ketika ini sangat panas malah pada jam 8 pagi, suhu sudah mencecah 41 darjah Celsius manakala pada siang hari pula ia mencecah 46 darjah Celsius. Rakan di Makkah mengatakan ketika ini suhu sudah mencecah 51 darjah Celsius dan dijangka pada Ramadan suhu bakal meningkat kepada 65 darjah Celsius. Namun, usah bimbang, kepanasan melampau tidak dirasakan di dalam masjid dan sebaik-baiknya usah terlalu dedahkan diri dengan terik mentari dan minum banyak air zamzam selain makan buah-buahan serta sayur-sayuran. Menjelang solat Asar, kami sekeluarga ke masjid. Usai solat, kami pulang dan terkejut pula dengan kemeriahan pada petang itu sejurus keluar dari Masjidil Haram. “Sabil…sabil…” teriak jejaka berjubah putih. “Sadakah…sadakah…” laung seorang lagi. Di kiri kanan jalan raya mereka berteriak dan ramai datang meninjau, beratur dan mengerumuni. Jejaka berjubah putih memberi susu, minuman di dalam kotak, buah-buahan, roti, tamar dan kekacang. Sungguh meriah sekali suasana di luar perkarangan Masjidil Haram ketika itu. Saya gembira memerhati. Tiba pula di depan Restoran Imran, mereka menghulurkan minuman dan makanan walaupun azan Maghrib akan hanya berkumandang kira-kira dua jam lagi. Semua berebut-rebut bersedekah. Hingga tidak cukup tangan untuk memegang pemberian dihulurkan. Masya Allah. Setiap orang berlumba-lumba meningkatkan amal ibadat. Pada jam 5.30 petang, kami bersiap-siap ke Masjidil Haram untuk berbuka puasa. Saya membuat keputusan untuk berbuka puasa di dalam masjid kerana mahu merasa dan menikmati suasana berbuka di Tanah Suci walaupun sebelum itu ada yang menasihatkan saya supaya berbuka di hotel terlebih dahulu. “Lebih baik Ana buka di hotel dulu. Lepas itu pergilah ke masjid untuk solat Isyak dan terawih. Begitu lebih selesa. Jika balik selepas Maghrib, mesti makanan dah habis,” ujar seorang kenalan, kak Fazilah. “Oh ye ke kak? Elok berbuka di hotel? Tapi Ana nak rasa berbuka di masjid,” balas saya pula. “Di masjid ramai sangat orang nak berbuka. Elok di hotel sahaja,” pesan kak Fazilah bersungguh. Namun, pesanan beliau tidak pula saya endahkan kerana jika ada rezeki, insha Allah, pasti hidangan masih ada menunggu kami semua. Justeru, kami sekeluarga berbuka di masjid. Berjalan perlahan menuju masjid dan dalam masa yang sama, makanan dan minuman tidak henti-henti diberikan kepada semua jemaah yang sedang menuju Masjidil Haram. Tiba di pintu masjid, bapa saya dipaut oleh dua jejaka muda dengan wajah penuh ceria. Saya ketawa kecil melihat gelagat mereka kerana umpama mahu mendukung bapa saya. Aliff Hazim pula pantas mengekori datuknya manakala saya dan ibu berjalan pantas mahu melihat arah tuju anak muda yang membawa bapa saya itu. Mereka lantas mendudukkan bapa saya di ruang solat yang lengkap bersaprah dan dipenuhi makanan seperti tamar, air zamzam, gahwa, pelbagai manisan dan pek buah-buahan. “Ya Allah, seronoknya berbuka puasa di dalam masjid. Semua berlumba untuk membuat kebajikan. Mengangkat, memapah, memimpin warga tua, menuangkan minuman dan mengambil air zamzam, menyusun makanan serta minuman. Macam-macam mereka buat,” ujar saya kepada ibu yang ada di sisi. “Meriahnya puasa di sini,” balas ibu pula sambil asyik memerhati jemaah wanita membahagi makanan dan menghulur minuman. Alhamdulillah, keputusan saya untuk berbuka puasa di Masjidil Haram memberikan kenangan cukup manis dan indah dalam kehidupan. Hidangan dihulurkan penuh keberkatan kerana biarpun ala kadar namun mengenyangkan. Selesai solat Maghrib, kami pulang ke hotel kerana azan Isyak akan hanya berkumandang dua jam selepas selesai solat Maghrib. Tiba di hotel, hidangan masih penuh di atas meja malah makanan yang diperoleh dari Restoran Imran hampir saban hari setiap kali pulang ke hotel, tidak luak kerana kekenyangan. Indahnya Ramadan di Tanah Suci dan saya berharap agar Allah SWT mengundang saya sekeluarga untuk berpuasa di Madinah serta Makkah pada masa akan datang.