KUALA LUMPUR: Misteri kehilangan kapal tangki MT Orkim Harmony sudah terjawab setelah ia dikesan di perairan Kemboja, namun usaha menyelamatkan 22 anak kapal daripada sekumpulan perampas bersenjta belum berakhir. Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah mengemukakan beberapa opsyen kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkaitan usaha menyelamatkan anak kapal, yang terdiri 16 rakyat Malaysia, lima Indonesia dan seorang Myanmar. Panglima TLDM Wilayah Laut 1, Laksamana Muda Datuk Azahari Abdul Rashid, yang memaklumkan perkara itu, berkata pihaknya sedang menunggu arahan selanjutnya daripada MKN. "Opsyen yang kami (TLDM) kemukakan itu adalah rahsia. Apa-apa pun, sebarang tindakan yang bakal diambil dengan memberi keutamaan kepada keselamatan kru kapal itu. "Pada masa yang sama KD Terengganu masih meneruskan rundingan dengan perompak supaya mereka menyerah diri," katanya ketika dihubungi Bernama, Khamis malam.Kapal tangki miliki Syarikat Magna Meridian Sdn Bhd, yang membawa 6,000 tan metrik petrol bernilai RM21 juta, dilaporkan hilang sejak Khamis lalu ketika dalam perjalanan dari Melaka ke Pelabuhan Kuantan, Pahang. Kapal itu, yang telah disahkan hari ini oleh pihak berkuasa, telah dicat semula dan ditukar nama kepada 'Kim Harmon'. Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata KD Terengganu kini mengekori dan berusaha memujuk sekurang-kurangnya lapan perampas, yang bersenjatakan pistol dan parang, di atas kapal itu supaya menyerah diri. Panglima Wilayah Laut 1 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Laksamana Muda Datuk Azahari Abdul Rashid berkata TLDM kini berkomunikasi dengan perampas terbabit menggunakan frekuensi radio dan kesemua kru kapal selamat. Pihak perampas tidak membenarkan TLDM dan Agensi Penguatkuasan Maritim Malaysia (APMM) menghampiri kapal berkenaan dan terpaksa berada pada jarak lima batu nautika dari kapal itu, demi keselamatan kru kapal. Perampas yang bertutur dalam bahasa Melayu loghat Indonesia itu dipercayai mahu menjual minyak RON95 itu kepada sindiket tertentu. Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM, Laksamana Madya Maritim Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar yakin muatan petrol dalam kapal itu tidak terjejas setelah ia disahkan sendiri oleh pemilik kapal, yang dipanggil bagi membuat pengecaman selepas kapal itu ditemukan semalam. Berdasarkan gambar yang dirakam oleh pesawat P-3C Orion milik Tentera Udara Diraja Australia, pemilik kapal mengesahkan kedudukan paras muatan 6,000 tan metrik petrol yang dibawa kapal kekal. Ahmad Puzi berkata proses rundingan, yang dijangka mengambil sedikit masa itu, dilaksanakan secara profesional oleh jururunding terlatih bagi memastikan penjenayah meletak senjata dan menyerah tanpa syarat.-- Bernama