suria

Pakatan Baharu Dijangka 'Muncul' Julai Ini

Ng Suee Lim.

KLANG: Sebuah pakatan baharu bertujuan untuk menamatkan krisis politik dalam Pakatan Rakyat dijangka muncul, bulan depan.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Selangor, Ng Suee Lim berkata semua isu berkaitan kerjasama ketiga-tiga parti komponen perlu melihat resolusi yang lebih jelas pada waktu itu.

"Keadaan akan menjadi lebih jelas selepas sambutan Hari Raya. Mungkin ada sebuah pakatan baharu yang akan bekerjasama.

"Kami tidak mahu bercakap mengenai Pakatan Rakyat lagi kerana ia dianggap masa lampau," kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sekinchan itu semasa melawat jambatan ketiga Klang dekat Lorong Selamat di sini, Rabu.

Beliau berkata pakatan itu kini di peringkat penyusunan dan penyesuaian semula dengan DAP dan PKR mencari jalan untuk bekerjasama pada masa hadapan.

"Kami tidak nafikan terdapat beberapa masalah yang perlu ditangani sekarang tetapi saya ingin memberi jaminan bahawa hubungan semua Adun di Selangor masih utuh dan baik.

"Kami akan menggunakan tempoh sepanjang bulan Ramadan untuk memikirkan cara supaya kerajaan negeri yang diterajui Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali akan terus berfungsi," katanya.

Ditanya sekiranya ketiga-tiga parti masih kekal dalam pentadbiran negeri, Ng berkata ia mungkin berlaku selagi mereka masih bersetuju mengenai isu-isu tertentu yang sama dan menghormati antara satu sama lain.

Di BUTTERWORTH, bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata Pakatan Rakyat perlu terus bekerjasama sebagai satu pakatan untuk menentang Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata Pakatan perlu menyelesaikan perbezaan pendapat mereka sebelum menentang BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

"Pengalaman lalu menunjukkan sukar untuk PAS berjaya jika bergerak sendirian," katanya.
BBC, pakatan baharu

Artikel Sebelum

Artikel Lain