KUALA LUMPUR: Rang undang-undang Persendirian Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang bertujuan membuka laluan kepada pelaksanaan hukum hudud di Kelantan tersenarai dalam kertas Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat pada Rabu. Rang Undang-Undang bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) itu bagaimanapun disenaraikan sebagai usul terakhir untuk dibahas pada persidangan kali ini yang akan berakhir pada Khamis. Berdasarkan perkembangan itu, kemungkinan besar rang undang-undang yang dikemukakan untuk kali keduanya itu akan berdepan nasib sama seperti sebelum ini, iaitu gagal dibentangkan kerana perlu memberi keutamaan kepada usul-usul lain yang dikemukakan oleh kerajaan. Menurut kertas aturan mesyuarat dan usul-usul Dewan Rakyat pada Rabu, terdapat 12 lagi rang undang-undang yang perlu diberi keutamaan serta 15 usul yang dikemukakan anggota Parlimen lain bersabit pelbagai isu. Rang undang-undang Persendirian yang dikemukakan Presiden PAS itu bertujuan meminda Seksyen 2, Akta 355 bagi menggantikan peruntukan sedia ada berhubung bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah ke atas penganut agama Islam. Pada persidangan lepas, Abdul Hadi mengemukakan usul rang undang-undang itu dan telah disenarai dalam kertas aturan mesyuarat Dewan Rakyat pada 7 April lepas, dua hari sebelum persidangan itu berakhir, menyebabkan ia tidak sempat dibentangkan kepada sidang dewan. Rang undang-undang itu dicadangkan susulan keputusan Dewan Undangan Negeri Kelantan yang sebulat suara meluluskan Kanun Jenayah Syariah II Enakmen 1993 (Pindaan 2015) pada 19 Mac lepas.