suria

RUU Mengenai Hudud Tidak Dibahas Selagi Urusan Kerajaan Tidak Selesai

Pandikar Amin Mulia.

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian berkaitan pelaksanaan hudud di Kelantan tidak akan dapat dibahas selagi agenda dan urusan kerajaan tidak selesai, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

"Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat 15 mengatakan bahawa sesuatu usul daripada usul persendirian tidak akan dapat dibahas selagi agenda-agenda urusan kerajaan di bawah peraturan mesyuarat 15 tidak selesai," katanya pada sidang Dewan Rakyat, Khamis.

Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat 15 antara lain menyebut pada tiap-tiap hari persidangan mesyuarat Dewan Rakyat, urusan kerajaan hendaklah didahulukan daripada urusan-urusan lain.

Pandikar Amin menjelaskan perkara itu bagi menjawab soalan Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) yang bertanya kemungkinan usul berkenaan akan dibincangkan pada sidang Dewan Rakyat.

Beliau berkata RUU Persendirian yang diusulkan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu dimasukkan ke dalam kertas Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat kerana menepati peraturan mesyuarat.

RUU bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) itu bagaimanapun disenaraikan sebagai usul terakhir untuk dibahas pada persidangan kali ini yang akan berakhir Khamis.

Pandikar Amin berkata beliau telah menjelaskan perkara itu ketika pertemuan dengan Abdul Hadi, Datuk Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Baharu) dan Mahfuz sendiri sebelum ini.

"Penjelasan telah saya beri kepada ketiga-tiga Yang Berhormat. Saya tidak faham kenapa Yang Berhormat (Mahfuz) masih minta penjelasan saya dalam dewan ini ... adakah semata-mata kerana Yang Berhormat sendiri punya agenda politik," katanya sinis.

Pandikar Amin turut menepis rumusan cuba dibuat Mahfuz bahawa kerajaan tidak bersedia untuk memberi laluan kepada rang undang-undang itu untuk dibahaskan dengan menegaskan itu hanya tafsiran anggota Parlimen itu sendiri.

Artikel Lain