PETALING JAYA: Semua kru kapal tangki, MT Orkim Harmony berada dalam keadaan selamat dan suspek yang merampas kapal tersebut sedang dipujuk untuk menyerah diri, kata Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia Tan Sri Abdul Aziz Jaafar.
Beliau berkata tindakan susulan sedang dibincangkan.
"Kami perlu mendapatkan persetujuan pemilik dan kita juga perlu mengambil langkah berjaga-jaga. Apa pun, kita bersedia," katanya.
Kapal MT Orkim yang membawa 6,000 tan metrik petrol bernilai RM21 juta dilaporkan hilang pada 8.57 malam pada Khamis lepas ketika dalam perjalanan dari Melaka ke Pelabuhan Kuantan, Pahang.
Kapal yang dimiliki oleh Syarikat Magna Meridian Sdn Bhd itu membawa 22 anak kapal termasuk 16 rakyat Malaysia. Anak kapal lain terdiri daripada rakyat Indonesia dan Myanmar.