KUANTAN: Anak kapal MT Orkim Harmony warga Indonesia cedera ditembak lanun ketika cuba melawan seorang daripada perompak berkenaan pada 11 Jun lalu, kata Timbalan Duta Indonesia di Malaysia, Hermono. Beliau berkata detik-detik cemas itu diceritakan oleh anak kapal warga Indonesia kepadanya ketika beliau menemui mereka di kapal itu pagi ini. "Mangsa Mawit Matin, 46, dari Bangkalan ketika itu sedang membuka pintu kabin untuk membuang sampah, ketika buka pintu ada orang, lalu dia melawan langsung ditembak dan mengenai paha mangsa," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat empat anak kapal warga republik itu yang selamat tiba dengan kapal Mt Orkim Harmony di Pelabuhan Kuantan, pukul 7.50 pagi ini. Tindakan itu dipercayai dilakukan untuk menghalang perompak berkenaan daripada memasuki kapal tersebut. Katanya, anggota keluarga Mawit juga telah tiba di Kuala Lumpur malam semalam dan telah diterbangkan ke Kelantan untuk melawat mangsa yang sedang dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian. Hermono berkata, empat kakitangan kedutaan Indonesia dengan diketuai oleh beliau telah berada di Pelabuhan Kuantan sejak tengah malam tadi bagi menunggu ketibaan kapal itu. Hasil lawatan itu, katanya didapati kesemua empat anak kapal Indonesia yang ditemui berada dalam keadaan sihat dan tidak mengalami trauma yang serius walaupun ditawan lebih seminggu. "Empat lagi anak kapal warga Indonesia, bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan. Malah selama ditawan juga tidak ada sebarang kekerasan fizikal dilakukan terhadap mereka serta anak kapal yang lain," katanya. Selain Mawit, empat lagi anak kapal warga Indonesia ialah Bambang Suryawan, 43, dari Tanjung Pinang; Nelson HasIholan Sitorus, 35, dari Dolol Marubun dan Ntan Kombongan, 30, dari Sesean. Katanya, pada pertemuan itu seorang daripada anak kapal warga Indonesia memaklumkan untuk berhenti bekerja manakala tiga yang lain masih berminat untuk meneruskan kerjaya dengan syarikat berkenaan. "Mungkin itu hanya reaksi spontan ketika ditanya, apapun kita beri mereka peluang jika masih mahu terus bekerja di sini," katanya. Difahamkan kesemua anak kapal tangki milik MagnaMeridianSdn Bhd termasuk empat anak kapal warga Indonesia itu kini dalam proses diambil keterangan dan pemeriksaan kesihatan. Anak kapal warga Indonesia itu dijangka dibawa ke kedutaan petang ini setelah semua proses berkenaan selesai. Kesemua 22 anak kapal MT Orkim Harmony dibebaskan pada kira-kira 2.30 pagi Jumaat. MT Orkim Harmony, yang membawa 6,000 tan metrik petrol bernilai RM21 juta, dilaporkan hilang pada 8.57 malam 11 Jun lepas ketika dalam pelayaran dari Melaka ke Pelabuhan Kuantan.-- Bernama