suria

Laluan Baharu Daki Gunung Kinabalu Akan Dikenal Pasti

Kemusnahan laluan ke puncak Gunung Kinabalu akibat gempa bumi 5 Jun lalu mendorong pihak berkuasa berusaha mengenal pasti laluan baharu.

KUNDASANG: Tinjauan awal bagi mengenal pasti laluan baharu mendaki gunung Kinabalu akan dilakukan bagi menggantikan laluan asal yang runtuh akibat gempa bumi pada 5 Jun lepas.

Pengurus Taman Daratan Taman-Taman Sabah Maipol Spait berkata tinjauan itu akan dilakukan selepas tiga hari upacara 'Posogit' yang diadakan, Sabtu.

"Dua kawasan laluan mendaki gunung Kinabalu yang runtuh akibat gempa bumi adalah di Kilometer (KM) 1.5 hingga KM1.8 dan KM6.1 hingga KM7," katanya ketika ditemui selepas upacara 'Posogit' di Taman Kinabalu di sini, Sabtu.

Beliau berkata laluan pendakian gunung Kinabalu dari Mesilau ke  Layang-Layang juga runtuh akibat gempa bumi yang berukuran 5.9 pada skala Richter berkenaan.

Menurut Maipol, tinjuan berkenaan juga akan mengenal pasti kerosakan pada  bangunan yang terdapat di Laban Rata dan hasil tinjauan akan dikumpul oleh sebuah jawatankuasa kecil yang dipengerusikan beliau yang turut dianggotai wakil dari Sutera Sanctuary Lodges, Mountain Torg serta Malim Gunung Kinabalu.

Katanya, hasil tinjauan khususnya mengenai laluan baharu mendaki gunung Kinabalu itu akan diserahkan kepada Jawatankuasa Teknikal untuk proses penilaian dan kelulusan.

"Setelah mendapat kelulusan, barulah kerja pembinaan laluan baharu dilakukan," katanya.

Tragedi gempa bumi yang berpusat di Ranau itu menyebabkan runtuhan batu di kawasan puncak gunung Kinabalu mengorbankan 18 orang terdiri enam rakyat Malaysia iaitu empat malim gunung dan dua pendaki, Singapura (10), dan masing-masing seorang rakyat Jepun serta China.-- Bernama


Artikel Lain