suria

Kru Orkim Harmony Bersemangat Tinggi Selepas Selamat Tiba Di Pelabuhan

Anggota pasukan khas Tentera Laut DiRaja Malaysia (PASKAL) memeriksa kapal tangki MT Orkim Harmony yang selamat kembali bersama 21 anak kapal pagi tadi di Dermaga Petronas, di Pelabuhan Kuantan, Sabtu. Seorang lagi anak kapal yang cedera telah diterbangkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia.
Kapal itu membawa 6,000 tan metrit petrol Ron95 bernilai RM21 juta dilaporkan hilang pada 8.57 malam 11 Jun lepas ketika dalam pelayaran dari Melaka ke Pelabuhan Kuantan. Khamis lepas ia dikesan telah dirampas dan ditukar nama asal 'Orkim Harmony' kepada 'Kim Harmon'. -fotoBERNAMA
KUANTAN: Kesemua 21 anak kapal MT Orkim Harmony yang dirampas oleh sekumpulan lanun selamat kembali ke pelabuhan dalam keadaan baik dan kemudiannya menjalani pemeriksaan kesihatan.

Salah seorang anak kapal, tukang masak warga Indonesia tercedera di bahagian punggung akibat terkena tembakan, diterbangkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan selanjutnya. 

Selain itu, kesemua anak kapal dikehendaki untuk merakamkan keterangan sebelum dibenarkan kembali ke pangkaun ahli keluarga mereka. 

Panglima Wilayah Laut 1 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Muda Datuk Azhari Abdul Rashid berkata, disebabkan masalah terhadap enjin, kapal minyak tersebut lewat tiba dari jangkaan awal iaitu pada jam 2.30 pagi.

Azhari berkata kapal tersebut akhirnya berlabuh di Pelabuhan Kuantan kira-kira jam 7.30 pagi.

"Kesemua anak kapal bersemangat tinggi dan tidak sabar untuk berjumpa dengan ahli keluarga.

"Secara keseluruhan, operasi bersepadu yang dijalankan mencapai kejayaan.

"Kesemua anak kapal dalam keadaan selamat dan lapan lanun yang merampas kapal itu telah ditahan oleh penguatkuasa Vietnam," jelasnya dalam satu sidang media. 

Dua lanun dikenalpasti sebagai suspek yang melepaskan tembakan terhadap tukang masak kapal.

Menurut Azhari, siasatan sedang giat dijalankan oleh penguatkuasa maritim. 

Tambahnya, operasi tentera laut berakhir selepas kesemua lanun berjaya ditangkap.

"Keutamaan kami adalah untuk mengiringi MT Orkim Harmony ke pelabuhan dan memastikan keselamatan anak kapal terjamin.

"Kesemua perampas merupakan sebahagian daripada sindiket dan kami serahkan kepada pihak tertentu untuk menjalankan siasatan lanjut.

"Amat jelas sekali bahawa kapal kargo yang cuba dirampas itu sangat besar dan sukar untuk mencari pembeli dalam tempoh masa singkat," katanya. 

MT Orkim Harmony, yang sarat dengan 6,000 tan metrik petrol bernilai RM21 juta, dilaporkan hilang pada jam 8.57 malam pada 11 Jun semasa dalam perjalanan ke Pelabuhan Kuantan dari Melaka. 

Kapal tersebut yang dimiliki oleh Magna Meridien Sdn Bhd, membawa 22 anak kapal yang terdiri daripada 16 rakyat Malaysia, lima warga Indonesia dan seorang warga Myanmar. 

Kargo itu adalah milik Petronas. 

Dalam pada itu, kapal tersebut dicat semula dan ditukarkan nama kepada 'Kim Harmon' selepas berjaya ditawan oleh sekumpulan lanun.

Artikel Lain