KUNDASANG: Majlis Penasihat Gunung Kinabalu melakukan satu upacara 'Posogit' hari ini yang mengikut kepercayaan penduduk tempatan di sini bertujuan menyeimbang dan mententeramkan 'penjaga' gunung Kinabalu susulan kejadian gempa bumi di Ranau, pada 5 Jun lepas. Upacara berkenaan diketuai seorang bobolian (dukun) dari Kampung Bundu Tuhan, Abas Arinting, 93, bersama sepuluh ahli penasihat dari kampung sama dan Kampung Kiau. Seekor kerbau dikorbankan untuk upacara berkenaan yang berlangsung selama 30 minit bermula 8.25 pagi di kawasan Timpohon, yang merupakan lokasi pelepasan pendaki gunung Kinabalu di Taman Kinabalu. Menurut kepercayaan penduduk kaum Dusun di sini, korban seekor kerbau itu untuk dipersembahkan kepada penunggu gunung Kinabalu. Bobolian turut menggunakan peralatan 'lumai' sebagai alat komunikasi berhubung dengan penunggu gunung Kinabalu. Penyelaras upacara itu Johnny Ghani, berkata upacara ini bagi memulihkan kesan 'kemudaratan' Gunung Kinabalu berikutan pelanggaran adat di kawasan itu antaranya kejadian pelancong asing berbogel. "Dalam bahasa tempatan, saya boleh katakan upacara ini bagi memulihkan kesan kemudaratan yang tersirat di gunung Kinabalu dan mengembalikan keadaan yang panas menjadi sejuk semula," katanya ketika ditemui selepas upacara itu. Upacara dimulakan dengan bobolian mencari tempat sesuai melakukan upacara itu diikuti penyembelihan seekor kerbau yang dikorbankan. Hanya bahagian hati, jantung, sedikit daging dan hujung hidung kerbau diambil untuk upacara itu manakala lebihan daging kerbau dimasak untuk dijadikan juadah dalam majlis ringkas dihadiri penduduk kampung di Taman Kinabalu. Johnny yang merupakan ahli Penasihat Gunung Kinabalu berasal dari Kampung Bundu Tuhan berkata pelaksanaan upacara itu juga bertujuan memberi ketenangan dan keharmonian kehidupan penduduk di kawasan kaki sekitar Gunung Kinabalu. Sementara itu, Pengurus Taman Daratan Taman-Taman Sabah (TTS) Maipol Spait berkata pelaksanaan upacara itu merupakan sumbangan pihaknya kepada komuniti sekitar Gunung Kinabalu dalam usaha penjagaan adat istiadat menerusi Majlis Penasihat Gunung Kinabalu. Katanya bagi TTS, upacara itu dibuat sebelum kerja-kerja pembaikan laluan ke gunung Kinabalu dan kerosakan lain dilakukan berikutan kejadian gempa bumi pada 5 Jun lepas. Tragedi gempa bumi berskala 5.9 Richter itu telah mengegarkan Sabah sekali gus meragut 18 nyawa serta mengakibatkan kerosakan harta benda di kawasan terjejas bencana, terutama di Ranau. Daripada 18 mangsa yang terkorban dalam kejadian gempa bumi itu, sembilan daripadanya adalah warga Singapura, enam warga Malaysia, seorang masing-masing dari Jepun dan China manakala seorang merupakan warga Filipina yang menjadi residen tetap di Singapura.