suria

Mayat Pensyarah Ditemui Terapung Dekat Kota Damansara

PETALING JAYA: Mayat lelaki reput, dipercayai seorang pensyarah berusia 43 tahun, ditemui terapung di Sungai Rumput berhampiran Kota Damansara di sini.

Mayat ditemui di tebing sungai itu kira-kira pukul 2 petang Jumaat selepas dibawa oleh arus.

Ahli bomba membawa naik mayat tersebut kira-kira pukul 3.30 petang sebelum menyerahkannya kepada polis untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Azmi Abu Kassim berkata pihak berkuasa telah dimaklumkan tentang penemuan itu oleh seorang wanita yang melihat mayat terapung di sungai berhampiran Tropicana Indah Resort Homes.

"Pegawai polis telah dihantar ke tempat kejadian berikutan laporan itu," katanya.

Mayat telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

Pihak berkuasa menemui lesen memandu yang milik George Lee Vui Hon pada mayat.

Difahamkan, Lee, yang berasal dari Penampang, Sabah, sebelum ini menyewa bilik di sebuah rumah di Bandar Puchong Jaya.

Pemilik rumah yang enggan dikenali, berkata Lee menyewa bilik kira-kira setahun lalu sebelum berpindah dua bulan lalu.

"Dia memberitahu saya bahawa dia adalah seorang pensyarah di sebuah kolej swasta.

"Dia menyewa sebuah tempat berhampiran Jalan Klang Lama selepas berpindah keluar pada bulan April," kata pemilik rumah itu lagi.

Pemilik rumah berkata tidak banyak yang diketahui mengenai Lee kerana dia adalah perahsia.

Difahamkan, Lee mempunyai Ijazah Sarjana Muda dalam Kejuruteraan Aeroangkasa dan belum berkahwin.

Menurut polis, Lee telah membuat laporan polis tiga hari lepas berkaitan kemalangan. Butir-butir kemalangan itu tidak didedahkan.

Artikel Lain