PETALING JAYA: Seramai 70 penghuni Rumah Lambaian Kasih Sungai Penchala di sini, diraikan pada jamuan berbuka puasa yang diserikan lagi dengan kehadiran selebriti terkenal tanah air. Nyata kanak-kanak berusia bawah 12 tahun itu teruja apabila berpeluang bersemuka dengan Datuk Aznil Nawawi, Neelofa, Rozita Che Wan dan suaminya Zain Saidin serta Hafiz Hamidun. Pengetuanya, Rohana Hussein berkata, ini merupakan peluang keemasan yang jarang dapat dirasai penghuni rumah kebajikan itu. "Anak-anak di sini gembira kerana diberi peluang berbuka puasa bersama selebriti terkenal tanah air dan peluang sebegini tidak datang selalu. "Malah, ini merupakan kali pertama kami mendapat jemputan berbuka puasa bersama selebriti dan kami gembira kerana ada pihak yang prihatin," katanya ketika ditemui di Majlis Berbuka Puasa di Royale Chulan Damansara, di sini, pada Jumaat. Kanak-kanak penghuni Rumah Lambaian Kasih juga menerima duit raya daripada pengurusan Royale Chulan Damansara. Menceritakan lebih lanjut, kata Rohana, menjelang Ramadan kebiasaannya mereka menerima jemputan paling kurang dua kali seminggu. "Malahan, ada beberapa pihak yang berbesar hati untuk menaja perbelanjaan menjelang Aidilfitri seperti pakaian dan makanan," jelasnya. Dalam pada itu, menurut Pengurus Perhubungan Awam Royale Chulan, Dangsuria Zainurdin, pihaknya turut memberi sumbangan berbentuk 'duit raya' untuk penghuni Rumah Lambaian Kasih. "Setiap kali Ramadan, kami akan memilih beberapa rumah kebajikan untuk berbuka puasa bersama selebriti," katanya.