PETALING JAYA: Jabatan Penjara menafikan Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi layanan istimewa bertaraf VIP yang membolehkan bekas ketua pembangkang itu bebas keluar dan masuk penjara. Timbalan Pengarah Dasar Kepenjaraan Jabatan Penjara, Supri Hashim berkata, Anwar pada Khamis lalu menghadiri penyiasatan Jawatankuasa Tatatertib Peguambela dan Peguamcara di Wisma Maran, Kuala Lumpur pada 18 Jun lalu berhubung aduan disiplin terhadap seorang peguam yang difailkan oleh bekas ketua pembangkang itu. Menurutnya, pengiringan Anwar itu dilakukan selepas Ketua Pengarah Jabatan Penjara mempertimbangkan notis yang dikeluarkan oleh pengerusi jawatankuasa berkenaan berhubung aduan yang dibuat oleh Anwar di bawah Akta Profesion Undang-Undang 1976. "Komisioner Jeneral Penjara (Ketua Pengarah Jabatan Penjara) telah menggunakan kuasanya di bawah di bawah Seksyen 31 Akta Penjara 1995 bagi melaksanakan notis tersebut. "Sepanjang tempoh berada bersama jawatankuasa berkenaan dan semasa di Wisma Maran, Datuk Seri Anwar telah dikawal oleh pegawai penjara dengan kerjasama berterusan dari pihak polis. "Semasa berada di tempat awam Jabatan Penjara tidak berkeupayaan mengawal sepenuhnya mana-mana pihak untuk mengambil gambar dan seterusnya menggunakan gambar tersebut bagi apa-apa tujuan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin. Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan media sosial Jumaat lalu yang mendakwa Jabatan Penjara memberi layanan VIP kepada Anwar berhubung kebebasannya keluar dari Penjara Sungai Buloh untuk ke Wisma Maran pada 18 Jun lalu. Antara dakwaan tersebut adalah mengenai persoalan apakah peruntukan yang membolehkan Anwar menikmati sebegitu hebat layanan walaupun bekas ketua pembangkang itu sebenarnya merupakan banduan yang disabitkan atas kesalahan meliwat. Supri menegaskan bahawa pengiringan Anwar dan kehadiran dalam Jawatankuasa Tatatertib Peguambela dan Peguamcara adalah mematuhi peruntukan undang-undang dan bukan satu keistimewaan seperti yang didakwa. Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan akhirnya terhadap sabitan dan hukuman kerana meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, pada 26 Jun 2008