suria

Selamat Datang Ramadan, Selamat Tinggal Bangsal Buruk

Makcik Zaharah termenung memikirkan kehidupannya yang sendirian di Gua Musang selepas rumahnya rosak teruk akibat banjir.

MAKCIK Zaharah bersyukur kebimbangannya bakal berakhir. Apa yang sering membelenggu dirinya kian lenyap.

Sebelum ini warga emas ini cukup gusar tentang nasibnya yang hanya berlindung di bangsal buruk. Bila-bila masa sahaja ia boleh ranap dan roboh menyembah bumi!

Makcik Zaharah atau nama sebenarnya Zaharah Sulong, 65, sudah bertahun-tahun hidup sebatang kara di Kampung Bertam Baru, Gua Musang, Kelantan.

Bukan dia tak punya anak, namun dikhabarkan anak-anaknya sudah tidak sudi menerimanya lagi.

Pada mulanya dia agak segan dan serba salah untuk bercerita perihal keluarganya.Tidak dapat lagi memendamkannya barangkali, akhirnya dia memberitahu bahawa dia mempunyai tujuh anak yang telah berkahwin, namun tiada seorang pun yang ambil peduli akan nasibnya.Berat ujian yang dilalui Makcik Zaharah.

Disember lalu dia diuji pula dengan banjir luar biasa yang menghanyutkan satu-satunya rumah kecil yang menjadi tempat dia berteduh selama ini.

Sudahnya, dia tinggal di bangsal buruk di belakang tapak rumahnya yang hanyut. Itu pun setelah jiran-jiran dan orang kampung bergotong-royong membina bangsal yang telah rosak akibat banjir itu itu agar menyerupai sebuah tempat tinggal.

Tempat berteduh Makcik Zaharah selepas rumahnya dihanyutkan banjir Disember lalu.

Kini Makcik Zaharah mampu tersenyum. Senyum kerana dia telah memiliki rumah baharu dan apa yang lebih bermakna bagi dirinya apabila dia dikhabarkan dapat mendiami rumah itu menjelang Ramadan.

“Makcik rasa syukur sangat. Terima kasih kepada mereka yang membantu. Ramadan ini adalah yang paling bermakna buat diri makcik,” katanya dalam loghat pekat Kelantan sambil tersipu-sipu malu.

Dari raut wajahnya, dapat dilihat dia begitu teruja untuk tinggal di rumah yang pastinya lebih kukuh dan selesa binaannya, sumbangan Persatuan Pengusaha Kem Khidmat Negara (PPKN).

Presiden PPKN, Datuk Seri Ahmad Kamel (kanan) meninjau keadaan rumah semasa proses pembinaan. Bersama beliau adalah bekas Bekas Ketua Pengarah JLKN Datuk Abdul Hadi Awang Kechil (kiri).

Banyak bezanya bangsal yang didiaminya dengan rumah baharu yang dibina di tapak asal rumahnya yang hanyut dibawa air itu. Ia ibarat langit dengan bumi!

Selama lebih kurang enam bulan dia tinggal di ‘rumah’ sempit, cukup untuk memuatkan dirinya seorang sahaja. Di situlah dia tidur, makan, berehat, menonton televisyen dan di situ jugalah dia sering mengenang nasib dirinya.

Tetapi di rumah baharunya, dia bakal tidur berdindingkan batu, lengkap dengan kemudahan air dan elektrik. Dia punya bilik sendiri yang sudah tentunya lebih besar berbanding bangsal yang didiaminya.

Rumah baharu Makcik Zaharah yang lebih selesa dan memberi lebih makna dalam kehidupannya.

Mengimbas kembali saat-saat berdepan banjir besar, Makcik Zaharah berkata, tiada apa yang dapat diselamatkannya kecuali sebuah peti televisyen lama dan peti sejuk.

“Orang kampung yang tolong makcik angkat televisyen dan peti sejuk. Pada masa itu makcik lari selamatkan diri ke kawasan lebih tinggi.

“Bila banjir surut, makcik lihat tiada apa lagi yang tinggal. Rumah tiada, hanya tanah kosong. Masa itu hanya Tuhan sahaja yang tahu perasaan makcik,” katanya yang sudah menetap di situ hampir 50 tahun.

Menyambut Ramadan, tidak banyak persediaan yang dilakukannya. Rumah baharu sudah menjadi nikmat yang terlalu besar bagi dirinya.

“Tak ada apa-apa persediaan, biasa-biasa sahaja. Cuma lebih selesa untuk berbuka, bersahur dan beribadat.

“Yang lain-lain, macam tahun-tahun sebelumnya juga. Makcik masak sendiri untuk berbuka dan bersahur. Kadang-kadang ada juga jiran-jiran sedekahkan makanan,” katanya.

Makcik Zaharah berkata, suaminya telah 25 tahun meninggal dunia akibat ditimpa kayu balak dan sejak itu dia terpaksa menyara sendiri kehidupan keluarganya.

“Dulu bolehlah makcik berkebun, sekarang dah tak larat. Makcik cuma bergantung dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300 sebulan, cukuplah untuk makcik seorang,” katanya.

Walaupun bakal mendiami rumah dan kehidupan baharu, Makcik Zaharah berkata, mana mungkin dia dapat melupakan jasa bangsal yang menjadi tempat perlindungannya dan orang ramai yang telah membantunya.

Terharu dengan bantuan dan sumbangan yang diterimanya, beliau sebenarnya memendam 1001 perasaan yang dapat dilihat dari raut wajahnya, namun tidak mampu diluahkan dengan kata-kata.

Apa yang pasti, menjelang Ramadan dan Syawal mulia, sudah tentulah ibu tua ini berharap dapat meraikannya bersama anak-anak tersayang.

Gua Musang, Ramadan, PPKN

Artikel Lain