suria

Saman Fitnah: Mahkamah Tinggi Tolak Permohonan Malaysiakini

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi pada Isnin menolak permohonan portal berita Mkini Dotcom Sdn Bhd dan dua lagi untuk membatalkan keputusan Hakim Besar Malaya berhubung hakim yang akan mendengar kes saman fitnah oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap mereka.

Hakim Datuk Asmabi Mohamad membuat keputusan itu dalam kamarnya dengan dihadiri Peguam Kanan Persekutuan Amarjeet Singh dan Suzana Atan mewakili Hakim Besar Malaya selaku responden.

Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun mewakili Najib, dan setiausaha eksekutif parti itu, Datuk Ab Rauf Yusoh, yang turut dinamakan sebagai responden.

Peguam Ashok Kandiah mewakili Mkini, ketua pengarang Malaysiakini.com, Steven Gan dan ketua editornya Fathi Aris Omar selaku pemohon.

Ashok ketika ditemui pemberita berkata mahkamah menolak permohonan itu selepas memutuskan Hakim Besar Malaya mempunyai kuasa mutlak untuk mengarahkan mana-mana hakim mendengar sesuatu kes di mahkamah mengikut Seksyen 20 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Peguam itu berkata mahkamah juga memerintahkan Mkini membayar kos RM5,000 kepada Jabatan Peguam Negara yang mewakili Hakim Besar Malaya.

Pada 12 Jun lepas, Mkini dan dua yang lain memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman bagi membatalkan keputusan Hakim Besar Malaya yang melantik Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Wira Kamaludin Md Said untuk mendengar kes saman fitnah Najib itu.

Ketiga-tiga pemohon itu memfailkan permohonan tersebut dengan alasan Kamaludin telah ditukarkan ke Mahkamah Tinggi Seremban. Sebelum ini hakim itu bertugas di Mahkamah Tinggi Sivil Kuala Lumpur.

Berikutan keputusan itu, Kamaludin akan mendengar kes saman fitnah itu.

Bagaimanapun tiada tarikh lagi ditetapkan untuk perbicaraan kes berkenaan.

Pada 30 Mei tahun lepas, Najib, atas kapasiti peribadinya dan Ab Rauf selaku plaintif memfailkan saman fitnah terhadap Mkini, Steven dan Fathi selaku defendan.

Mereka mendakwa kesemua defendan telah melaporkan, mengeluarkan dan membenarkan penerbitan dua artikel bertajuk "A case of the PM reaping what he sows" dan "How much will Najib spend to keep Terengganu?" di bawah ruangan Yoursay di laman portal www.malaysiakini.com pada 14 Mei tahun lepas.

Kedua-dua plaintif juga mendakwa komen-komen dalam artikel-artikel itu tersirat sindiran untuk menunjukkan bahawa UMNO tidak cekap sebagai badan politik dan tulang belakang kerajaan Barisan Nasional (BN).

Mereka mendakwa perkataan fitnah telah juga direka untuk mencerminkan UMNO sebagai menyalahgunakan kuasa demi kepentingan parti dan ia sebuah parti yang tidak demokratik dan sengaja dicipta situasi yang tidak diingini.

Malaysiakini, Portal Pembangkang

Artikel Lain