KUALA LUMPUR: Anjung Kasih perlu disediakan di setiap hospital di seluruh negara menjelang pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-11, kata Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Kebajikan Negara (YKN) itu berkata, Kementerian Kesihatan perlu menyediakan ruang berkenaan untuk kemudahan keluarga pesakit. "Anjung Kasih adalah perjuangan YKN dan setakat ini kita mempunyai lapan Anjung Kasih di seluruh negara di mana tiga daripadanya membabitkan dana yayasan," katanya selepas menyampaikan sumbangan hamper sempena Aidilfitri kepada pegawai serta kakitangan Insititut Jantung Negara (IJN) pada Selasa. Shahrizat berkata, Anjung Kasih bertujuan menempatkan percuma keluarga pesakit yang kurang berkemampuan serta mengelakkan ahli keluarga bermalam di sekitar hospital. "Keluarga pesakit yang menetap di Anjung Kasih YKN tidak dikenakan bayaran dan mereka dibenarkan menetap selama dua minggu tetapi ada juga yang menetap lebih daripada tempoh tersebut. "Setakat ini terdapat lebih kurang 2,500 keluarga yang telah menggunakan perkhidmatan yang disediakan jadi saya berharap agar Anjung Kasih ini menjadi elemen utama dalam setiap hospital yang dibina kerajaan," katanya. Selain itu, 500 pegawai dan kakitangan lima hospital serta pusat perubatan universiti terpilih menerima sumbangan hamper Aidilfitri sebagai tanda keprihatinan YKN di atas jasa dan pengorbanan mereka yang bertugas pada musim perayaan. "Program Selami Kasih merupakan program tradisi YKN yang diadakan setiap tahun untuk memberi sumbangan kepada pegawai serta kakitangan di beberapa hospital dan pusat perubatan," katanya. Selain IJN, pihak YKN turut mengagihkan sumbangan hamper kepada petugas Hospital Selayang, Hospital Kuala Lumpur, Pusat Perubatan Universiti Malaya serta Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia.