suria

Insiden Runtuh Mungkin Disebabkan Prosedur Kerja Selamat Tidak Dipatuhi

Runtuhan yang mengakibatkan tiga buruh warga asing maut pada kejadian di tapak projek pusat beli-belah di Pulau Sebang, Alor Gajah petang Isnin.

MELAKA: Siasatan awal Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) mendapati kemalangan tingkat bangunan sebuah pusat beli-belah dalam binaan di Pulau Sebang, Alor Gajah dekat sini runtuh petang Isnin, kemungkinan disebabkan prosedur kerja selamat tidak dipatuhi.

JKKP menerusi kenyataan pada Selasa berkata, siasatan lanjut akan dijalankan Bahagian Forensik dan bahagian Tapak Bina JKKP bagi mengenal pasti punca utama kemalangan itu.

"Pihak JKKP telah mengeluarkan Notis Pemberhentian bagi kerja-kerja pembinaan serta-merta.

"JKKP akan mengambil tindakan undang-undang jika terdapat perlanggaran terhadap Akta Kilang dan Jentera 1967 dan Akta Kesihatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994," kata kenyataan itu.

Tiga pekerja binaan dipercayai warga Myanmar maut dalam kejadian 2.15 petang  manakala enam pekerja lain, juga warga Myanmar, cedera tiga daripadanya parah.

Dalam kejadian itu pekerja dipercayai sedang merombak perancah bagi simen di tingkat itu yang telah keras, bagaimanapun tingkat itu tiba-tiba runtuh dan menghempap mangsa.-- Bernama

Pulau Sebang, JKKP, Myanmar

Artikel Lain