KUANTAN: Fama akan mengimport dua juta biji kelapa dari Indonesia bagi menampung permintaan yang meningkat sekali ganda menjelang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri. Ketua Pengarah Fama Datuk Ahmad Ishak berkata pada kebiasaannya, Fama mengimport sejuta biji kelapa sebulan untuk memenuhi permintaan pasar segar seluruh negara. "Kelapa ini akan diimport melalui pelabuhan di Batu Pahat (Johor) dan pusat operasi Fama di situ akan dijadikan hub utama untuk stok kelapa ini," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Isnin. Beliau berkata bekalan kelapa ini boleh didapati di 40 pusat operasi Fama di seluruh negara dan pihaknya bersedia untuk mengedarkannya kepada peruncit tempatan. Pemintaan kelapa yang tinggi pada musim perayaan adalah kerana pelbagai juadah yang sinonim dengan hari raya menggunakan santan sebagai bahan utama. Ahmad juga berkata, Fama akan mengimport cili dari Vietnam, Thailand dan China untuk memenuhi permintaan meningkat pada musim perayaan ini.