NILAI: Sebuah kilang karpet yang terletak di Pusat Perniagaan Nilai 3 di sini, musnah dalam kebakaran pada 6.30 petang tadi. Penolong Pengarah Operasi Pegawai Kanan Bomba Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata setakat 9.50 malam Rabu, operasi memadamkan api masih dijalankan di premis yang berkeluasan kira-kira 10,000 kaki persegi itu. "Kilang yang berkeluasan besar itu dan terdapat bahan mudah terbakar seperti kain melambatkan operasi memadamkan api. "Setakat ini tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kebakaran itu," katanya ketika dihubungi Bernama. Ahmad Mukhlis berkata punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. Selain Balai Bomba Nilai, operasi memadamkan kebakaran itu turut dibantu oleh Balai Bomba Mantin, Rembau, Seremban dan Seremban 2.