suria

Pok Hot Tiada Masalah Dalam Cuaca Panas

Pok Hot Salleh sudah memulakan kerjayanya sebagai pengayuh beza sejak 40 tahun lalu.

KUALA TERENGGANU: Walaupun ketika bulan Ramadan, pengayuh beca berusia 60 tahun, Pok Hot tidak menganggap pekerjaannya sebagai halangan sungguhpun di bawah panas terik.

Pok Hot Salleh, yang berasal dari Batu Burok memulakan pekerjaan sebagai pengayuh beca sejak 40 tahun lalu.

"Saya banyak berpeluh kerana mengayuh di bawah panas terik terutama pada Ramadan. Tetapi saya teruskan juga," katanya ketika ditemui di hadapan Pasar Payang di sini pada Selasa.

Pok Hot berkata bekerja dengan perut kosong mempunyai kelebihan tersendiri kerana dia akan menumpukan kepada pekerjaan dengan baik kerana tidak perlu berhenti menikmati makan tengah hari.

"Pada hari biasa, saya kadang-kadang rasa malas, terutama selepas makan tengah hari," katanya.

Pok Hot berkata, dia perlu bekerja keras kerana pendapatan hariannya tidak banyak.

Bapa kepada lapan orang anak itu berkata, selain mengangkut orang dari Pasar Payang ke stesen bas Kuala Terengganu, beliau juga melakukan pelbagai kerja lain untuk menyara keluarganya terutama sebagai persediaan menyambut hari raya.

Katanya, beliau tidak menetapkan harga bagi perkhidmatan becanya.

"Saya terima berapa sahaja jumlah yang diberikan. Kadang-kadang saya mendapat RM5, kadang-kadang RM10. Ia bergantung pada pemberi," katanya.

Namun beca tidak lagi menjadi tarikan walaupun kos untuk menaikinya rendah.

"Siapa yang mahu menaiki beca pada masa ini? Orang mempunyai kereta sendiri dengan penghawa dingin.

"Jika hari baik, akan ada pelancong yang mahu saya bawa mereka bersiar-siar dengan beca saya," kata Pok Hot sambil menambah bahawa dia pernah memperoleh hanya RM10 sehari.

Pok Hot berkata, anaknya berulang kali meminta dia berhenti kerja, tetapi dia menolak.

Katanya, mengayuh beca juga adalah senaman.

"Saya rasa sihat. Saya tidak mempunyai masalah jantung, kencing manis atau penyakit yang serius.

"Saya sudah 60 tahun tetapi saya pengayuh beca yang paling 'muda' di sini," katanya sambil ketawa.

Pok Hot Salleh, Pengayuh Beca, Beca

Artikel Berikut

Artikel Lain