NILAI: Selepas 18 jam, kebakaran kilang Karpet Prima di Nilai 3 di sini, Rabu masih belum dapat dipadamkan sepenuhnya. Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, api besar telah dipadamkan kira-kira pukul 11 pagi tadi dan kini yang tinggal sisa api kecil yang perlu dipadamkan berulang kali. "Susunan karpet yang tinggi melambatkan proses pemadaman kerana setelah dipadam, masih ada lagi karpet di bahagian bawah yang terbakar," katanya kepada Bernama. Lebih 78 anggota bomba dan penyelamat dari tujuh balai terlibat dalam operasi pemadaman api. Selain balai Nilai, ia turut melibatkan balai Mantin, Seremban, Seremban 2, Senawang, Jalan Hang Tuah, Bangi dan bomba sukarela Kepong dan Pelagong, Labu. Kilang itu yang juga menempatkan gudang dan ruang pameran karpet terbesar di sini berlaku kira-kira jam 6.30 petang semalam. Ahmad Mukhlis berkata, kejadian dipercayai bermula di bahagian stor kilang yang puncanya masih disiasat.-- Bernama