MELBOURNE: Pasukan polis persekutuan Australia merampas komputer dan fail dari sebuah rumah di Selatan Vermont pada Khamis sebagai sebahagian daripada siasatan berhubung pembelian hartanah oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara). Difahamkan beberapa hartanah lain di dalam dan sekitar Melbourne juga disasarkan untuk siasatan. Siasatan itu berhubung dakwaan penipuan dalam pembelian hartanah di Melbourne membabitkan pegawai kanan Mara. Pegawai tinggi Mara Incorporated Sdn Bhd termasuk pengerusinya, Datuk Mohammad Lan Allani dinamakan dalam akhbar harian Australia atas dakwaan rasuah berhubung pembelian hartanah. Sebuah portal dalam talian berkata walaupun dakwaan rasuah dikaitkan dengan pembelian hartanah di Australia oleh warga asing yang ada hubung kait dengan kepentingan politik, ia adalah kali pertama pihak polis melancarkan operasi besar-besaran. Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa berkata dakwaan harga yang melambung berhubung pembelian Dudley International House adalah di luar pengetahuan Mara. Beliau berkata Mara memperoleh bangunan lima tingkat Dudley International House seluas 30,279 kaki persegi selepas Mac 2013 untuk menempatkan pelajar di dalam 112 bilik. "Mara Inc membeli bangunan itu daripada pemaju pada harga yang berpatutan dan ini disokong oleh laporan hartanah daripada penilai profesional antarabangsa bertauliah. "Kami menyedari bahawa hartanah itu dibeli pada harga jauh lebih tinggi selepas akhbar Australia, The Age, menyiarkan laporan mengenainya semalam," katanya pada sidang akhbar berhubung dakwaan itu di Kuala Lumpur pada Rabu.